top of page

Tok Min aset terbesar Negeri Sembilan, wajar terus diberi mandat - Adly

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 5 hours ago
  • 1 min read

Menteri Besar sementara Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun atau lebih dikenali sebagai Tok Min, disifatkan sebagai aset terbesar negeri yang wajar terus diberi peluang menerajui pentadbiran kerajaan negeri, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Adly Zahari (gambar).


Adly berkata, sepanjang kepimpinan Tok Min, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, mengekalkan keharmonian negeri serta menyediakan pelbagai peluang yang memberi manfaat kepada masyarakat.


"Saya fikir ini adalah aset terbesar rakyat Negeri Sembilan. Berikan Tok Min peluang untuk terus memimpin Kerajaan Negeri," katanya kepada Suara Keadilan ketika ditemui pada penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Dewan Seri Rembau, hari ini.


Menurut Ahli Parlimen Alor Gajah itu, beliau yakin hubungan rapat antara Kerajaan Negeri dan rakyat menjadi antara kekuatan utama pentadbiran Tok Min yang perlu dikekalkan, selain rekod pelaksanaan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.


Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi Negeri Sembilan supaya terus memberikan mandat kepada Pakatan Harapan agar kesinambungan pentadbiran kerajaan negeri dapat diteruskan di bawah kepimpinan Tok Min.


"Saya melihat Kerajaan Negeri Sembilan di bawah kepimpinan Tok Min cukup banyak memberikan tumpuan kepada masyarakat.


"Kita perlu terus menyantuni rakyat, termasuk golongan muda, dan mengajak mereka keluar mengundi bagi memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan.


"Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah banyak melaksanakan perkara yang baik untuk rakyat. Tok Min memimpin negeri ini dengan menjaga keharmonian, memenuhi keperluan rakyat dan membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat.


"Sebab itu saya percaya beliau merupakan aset besar kepada Negeri Sembilan," kata ADUN Bukit Katil, Melaka itu lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page