
Calon KEADILAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Raymond Ahuar menafikan sekeras-kerasnya tohmahan bahawa beliau telah menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Malah, tohmahan itu tersebar beberapa hari sebelum rakyat Sabah keluar mengundi pada 26 September, esok.
Beliau berkata, beliau tidak pernah berhenti berjuang untuk KEADILAN dan sentiasa menentang Perikatan Nasonal (PN).
"Saya telah menerima 'screenshot' yang menyatakan saya telah menarik diri sebagai calon DUN N.45 Sook serta memberi sokongan kepada PN.
"Di sini saya ingin nyatakan bahawa kenyataan ini adalah palsu dan berunsur fitnah. Saya akan terus berjuang menentang PN yang ditubuhkan melalui pengkhianatan terhadap mandat rakyat," katanya dalam kenyataannya di akaun Facebook miliknya.
Raymond juga berkata beliau setia dengan KEADILAN dan Warisan Plus.
"Saya tidak teragak untuk membuat laporan Polis terhadap fitnah yang dilemparkan.
"Saya kekal calon Parti Keadilan Rakyat bersama gabungan WARISAN Plus bagi DUN N.45 Sook," katanya.