top of page

Tohmahan isu bantuan pendidikan: AMK Selangor lapor polis

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 9
  • 2 min read
AMK Selangor membuat laporan polis di IPD Shah Alam
AMK Selangor membuat laporan polis di IPD Shah Alam

Oleh: Azuan Ab Rahman


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor membuat laporan polis terhadap pihak yang didakwa memanipulasi isu pemberian tanah oleh Kerajaan Negeri untuk tujuan pendidikan.


Dalam kenyataan, AMK Selangor menyifatkan fitnah yang disebarkan melalui beberapa akaun media sosial sebagai usaha membina naratif mengelirukan rakyat.


"Kenyataan kononnya dipetik daripada laporan China Press 30 Ogos 2025 disensasikan dengan memberi gambaran seolah-olah Kerajaan Negeri memberi layanan istimewa hanya kepada golongan tertentu.


"Ini percubaan mengelirukan rakyat, bertujuan menimbulkan kegelisahan masyarakat khususnya orang Melayu," katanya.


Menurut kenyataan itu, tohmahan yang dibuat cuba memainkan sentimen perkauman dengan menggambarkan Kerajaan Negeri lebih mengutamakan agenda pendidikan sekolah Cina apabila kononnya tuntutan Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sentiasa dilayan dengan tangan terbuka.


Susulan itu, Kerajaan Negeri tampil membidas dakwaan tersebut dengan menegaskan bahawa sebarang keputusan pemberian tanah untuk tujuan pendidikan di negeri itu tidak hanya melibatkan sekolah Cina, sebaliknya turut membabitkan Pusat Pendidikan Al-Amin di Gombak.


Berdasarkan keperluan kapasiti pelajar yang semakin meningkat, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan RM300,000 untuk pembinaan asrama pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Midlands.


Selain tuduhan tersebut, Kerajaan Negeri turut menepis dakwaan kononnya memberi pengiktirafan baharu berkaitan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dengan menegaskan bahawa keputusan tersebut telah dibuat kira-kira 10 tahun lalu.


Sementara itu, AMK Selangor dalam kenyataan mereka menuntut pihak polis segera menjalankan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap penularan tohmahan berkenaan.


AMK mahu dalang di sebalik penularan itu disiasat berdasarkan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan perkhidmatan rangkaian dan media sosial.


"Kita turut menggesa agar mereka disiasat dibawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948 kerana membuat kenyataan berunsur hasutan dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan – membuat kenyataan yang boleh menyebabkan ketakutan atau kegelisahan awam, serta memecahkan ketenteraman awam.


"Pihak berkuasa juga diminta membuka siasatan dibawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah yang merosakkan nama baik kerajaan negeri dan kepimpinan Menteri Besar Selangor," tegas kenyataan tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page