top of page

Tohmahan Anwar malas membaca terpesong dari realiti - Dr Suhaimi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 days ago
  • 3 min read

DS Anwar dan buku tulisannya, bagaimana beliau boleh menulis jika tidak rajin membaca?
DS Anwar dan buku tulisannya, bagaimana beliau boleh menulis jika tidak rajin membaca?

Tohmahan yang dilemparkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) kononnya malas membaca amat tidak tepat dengan karektor PMX sejak zaman mudanya.


Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim berkata, ungkapan “Anwar malas baca” daripada sebuah klip podcast yang memaparkan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, isteri kepada Allahyarham Tun Daim Zainuddin tidak mencerminkan sifat peribadi Anwar yang cintakan ilmu.


Suhaimi berkata, klip berkenaan dipetik di luar konteks sehingga disensasikan oleh pihak tertentu bagi membina naratif negatif terhadap PMX.


"Kenyataan itu terlalu umum, menyebabkan tafsiran berbeza-beza walaupun maksud asalnya mungkin merujuk kepada laporan ekonomi.


"Namun begitu, ada yang mengambil klip tersebut, memviralkannya dengan niat tertentu dan merumuskan seolah-olah sikap Datuk Seri Anwar seorang sebegitu," katanya dalam muat naik di Facebook.


Beliau menegaskan, tafsiran sedemikian bukan sahaja tersasar, malah bercanggah dengan fakta sejarah, rekod akademik serta perjalanan hidup Anwar sepanjang lebih lima dekad dalam dunia pendidikan, intelektual dan politik.


"Sebagai seseorang yang sudah lama mengenali Datuk Seri Anwar sejak saya berada di Tingkatan Enam Yayasan Anda, sehingga kini, saya agak terperanjat melihat bagaimana naratif seumpama itu boleh menjadi tular," katanya.


Bagi beliau, dakwaan dan kepercayaan ini tidak selari dengan rekod akademik, penulisan dan aktiviti intelektual Anwar selama lebih lima dekad. Malah, Tun Daim sendiri, katanya pernah memberi komen positif dalam akhbar utama seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, dan NST apabila ditanya wartawan mengenai Datuk Seri Anwar, setelah menilai keupayaan dan kejayaannya sebagai Menteri Kewangan.


"Malah seingat saya, Tun Daim pernah menggelar Datuk Seri Anwar sebagai seorang yang kuat dan rajin membaca, sehingga diiktiraf sebagai Menteri Kewangan terbaik Asia.


"Logiknya, bagaimana seorang tanpa latar belakang ekonomi atau perakaunan boleh menerajui Kementerian Kewangan dengan cemerlang jika beliau malas membaca, termasuklah laporan ekonomi - jika maksud asalnya sebegitu," katanya.


Menurut Suhaimi, sewaktu era Tun Daim menerajui Kementerian Kewangan pada 1990an dan apabila beliau bercuti maka dinamakan Tan Sri Sanusi Junid, Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar yang berpengalaman dalam perbankan dan perakaunan sebagai Pemangku Menteri Kewangan.


"Kenapa tidak dilantik terus Tan Sri Sanusi Junid atau Tan Sri Rafidah Aziz, yang mempunyai latar belakang ekonomi, sebagai Menteri Kewangan? Saya tidak berhasrat ingin mengulas lanjut mengenai sebab-sebabnya," jelasnya.


Menurut Suhaimi, beliau mengenali Anwar sejak zaman persekolahan melihat peribadi Anwar yang amat gemar menambah ilmu.


"Ketika saya di Tingkatan Enam, Datuk Seri Anwar sebagai guru Kertas Am mewajibkan semua pelajar membaca - yang bagi kami sesuatu yang terasa agak berat pada permulaannya. Apabila beliau menjadi Menteri Pendidikan, beliau menekankan Budaya Membaca dan Budaya Ilmu."


Mantan Presiden Majlis Belia Malaysia itu turut menceritakan bagaimana Anwar sering ditemuinya di gedung buku dan kerap membawa dua buah buku setiap kali menaiki pesawat ke Pulau Pinang.


Suhaimi menggariskan beberapa fakta penting yang membuktikan Anwar ialah seorang pembaca tegar, antaranya:


Membaca karya Shakespeare 4 hingga 4.5 kali lengkap dengan nota semasa di penjara (1998 - 2004); Menghabiskan bacaan Al-Quran, Bible dan Bhagavad Gita serta ratusan karya falsafah, sejarah, politik dan ekonomi; Produktif menulis – lebih 30 buku diterbitkan, termasuk karya antarabangsa; Diiktiraf sebagai sarjana pelawat di Oxford, Georgetown dan Johns Hopkins; dan menyampaikan syarahan utama di pentas antarabangsa seperti LSE, Al-Azhar, MGIMO dan World Shakespeare Congress.


"Fakta yang terdokumentasi juga menunjukkan sebaliknya, Datuk Seri Anwar ialah seorang pembaca tegar, penulis prolifik, pemikir mendalam, dan pendidik yang dihormati di peringkat dunia," tegasnya.


Anwar, katanya, bukan hanya tokoh politik tetapi juga telah menulis karya ilmiah seperti Gelombang Kebangkitan Asia, Warkah Anwar 1998–2004, Menangani Perubahan, Membangun Negara Madani, Rethinking Ourselves dan sebagainya.


Selepas dibebaskan dari penjara pada 2004, Anwar juga telah bekerja sebagai tenaga akademik di University of Oxford, Georgetown University dan Johns Hopkins University yang terkenal dengan tradisi ilmu serta pembacaan meluas.

"Sebagai rakyat, kita boleh berbeza pendapat tentang dasar kerajaan. Itu hak demokrasi. Namun kita juga perlu berlaku adil dan berpegang pada fakta, bukan sekadar mencerminkan kebencian diri kepada seseorang," katanya.


Beliau berharap agar wacana politik negara selepas ini menjadi lebih matang, cermat dan bermakna.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page