Kemalangan maut: Hentikan sikap tidak bertanggungjawab di jalan raya - Yuneswaran
- Suara Keadilan
- 6 hours ago
- 2 min read

Timbalan Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj, menyifatkan beberapa hari kebelakangan ini sebagai tempoh yang amat berat susulan beberapa insiden kemalangan maut yang mengorbankan beberapa nyawa melibatkan penduduk di kawasannya.
Menurut beliau, semalam beliau berada di Klang bagi menziarahi waris Allahyarham Amirul Hafiz Umar sebelum menerima berita lebih menyayat hati mengenai satu lagi kemalangan di Segamat yang meragut tiga nyawa dalam satu keluarga.
"Tidak lama selepas itu, saya dimaklumkan tentang tragedi di kawasan saya sendiri di Segamat yang meragut tiga nyawa serentak. Staf Pejabat Parlimen saya turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada waris ketiga-tiga mendiang," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, mangsa yang terkorban terdiri daripada tiga ahli keluarga iaitu datuk, nenek dan bapa saudara, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga yang ditinggalkan.
Hari ini, beliau turut meluangkan masa menziarahi seorang lagi mangsa, Encik Karthik, di Hospital Segamat.
"Dalam satu tragedi, beliau kehilangan ayah, ibu dan juga pakcik saudaranya. Tiada kata yang mampu menggambarkan kesedihan yang beliau tanggung," ujarnya.
Lebih memilukan, dua anak kepada Encik Karthik turut tercedera dalam kejadian tersebut. Anak sulungnya, Hariharan, 23, mengalami patah kedua-dua kaki, manakala anak bongsu, Sugunya, 19, kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat kecederaan serius pada otak.
"Sugunya baru sahaja menerima keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tempoh hari, namun kini terpaksa bertarung nyawa di hospital," katanya.
Mengulas lanjut, Yuneswaran menegaskan bahawa tragedi berkenaan bukan sekadar takdir semata-mata, sebaliknya berpunca daripada kecuaian pemandu yang didakwa memandu di bawah pengaruh dadah.
"Tindakan tidak bertanggungjawab ini telah meragut nyawa orang tidak berdosa dan memusnahkan masa depan sebuah keluarga. Saya tidak akan berdiam diri," tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau memberi jaminan akan membantu sepenuhnya keluarga mangsa, termasuk menanggung kos rawatan perubatan bagi kedua-dua anak Encik Karthik serta menyediakan bantuan susulan lain.
"Saya akan memastikan mereka mendapat rawatan terbaik dan peluang untuk sembuh serta meneruskan kehidupan," katanya.
Beliau turut menzahirkan solidariti kepada keluarga mangsa dan berjanji akan memperjuangkan keadilan bagi pihak mereka.
"Kepada keluarga Encik Karthik, ketahuilah bahawa anda tidak bersendirian. Kesedihan ini kita kongsi bersama, dan keadilan akan kita tuntut bersama," katanya.
