top of page

Tohmah sahabat: Pas jangan senyap, nyatakan pendirian terhadap MP Pasir Puteh

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 48 minutes ago
  • 2 min read

Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN (BiPPA) mengecam kenyataan Ahli Parlimen (MP) Pasir Putih, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengandungi tohmahan terhadap para sahabat Rasulullah s.a.w dalam satu ceramah yang tular di media sosial.


Pengerusinya, Amidi Abdul Manan (gambar) menyifatkan kenyataan itu sebagai satu tindakan biadab terhadap golongan sahabat Nabi yang mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam.


"Pihak Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama KEADILAN (BiPPA) menasihatkan agar Nik Zawawi mencontohi akhlak Rasulullah yang tidak menyebut-nyebut perilaku yang menyimpang dari norma Islam yang dilakukan oleh para sahabat baginda ketika masih jahiliyah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Amidi berkata sehingga kini pihak berkenaan masih belum memberikan penjelasan walaupun isu itu telah “lebih 24 jam berlegar dalam domain komunikasi awam di Malaysia”.


Beliau menegaskan jasa dan pengorbanan para sahabat Rasulullah s.a.w terlalu besar dalam perjuangan menegakkan Islam.


"Jasa para sahabat Rasulullah terlalu besar kepada Islam. Pengorbanan yang terpaksa mereka tempuh, begitu juga penderitaan yang dialami mereka, bukti keyakinan dan keimanan serta kesetiaan terhadap Rasulullah s.a.w yang tidak pernah disangsikan," katanya lagi.


Dalam pada itu, Amidi berkata pihaknya memahami kekuatan ajaran al-Quran dalam membentuk perubahan diri dan masyarakat, namun mempersoalkan tindakan menggunakan contoh terkait para sahabat yang dianggap tidak wajar.


"Kita faham dan kita yakini betul, kekuatan ajaran al-Quran yang mempunyai kekuatan transformatif terhadap diri dan masyarakat.


"Lantas kenapa diada-adakan contoh yang jelik dan pelik kepada para sahabat," katanya.


Beliau berkata Rasulullah sendiri tidak pernah mengungkit keburukan para sahabat ketika mereka masih berada dalam zaman jahiliah.


Sehubungan itu, BiPPA mendesak Nik Zawawi tampil memberikan penjelasan berhubung kenyataan yang dibuat dalam ceramah terbabit, kata Amidi.


Beliau turut menegaskan sekiranya tiada penjelasan diberikan, maka kepimpinan tertinggi Pas perlu menyatakan pendirian rasmi berhubung isu tersebut.


BiPPA juga, katanya mendesak Pas memohon maaf kepada umat Islam di negara ini kerana kenyataan itu didakwa telah “mencemarkan kemurnian Islam”.


Amidi berkata, ancaman terhadap Islam di Malaysia bukan berpunca daripada kepelbagaian kaum dan agama, sebaliknya disebabkan akhlak segelintir individu yang berpolitik secara berlebihan.


"Islam di Malaysia terancam bukan kerana kepelbagaian agama, kaum dan budaya tetapi, Islam terancam kerana akhlak buruk seorang yang mengakui dirinya pewaris tugasan para Nabi tetapi biadab kepada para sahabat baginda," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page