AMK Perak kecam ucapan MP Pas persenda sahabat Nabi
- Suara Keadilan

- May 12
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Perak mengecam keras kenyataan Ahli Parlimen (MP) Pas yang didakwa menghina serta memperlekehkan ketokohan para sahabat Rasulullah s.a.w dalam ceramah politik baru-baru ini.
Ketuanya, Ashraf Kahasani (gambar) berkata, ucapan oleh Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh itu disifatkan melampau dan tidak wajar, apatah lagi melibatkan tokoh-tokoh besar dalam sejarah Islam.
Menurut beliau, kenyataan mendakwa Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA sebagai “ceti” serta menggambarkan Saidina Umar Al-Khattab RA dengan naratif tidak bermaruah sebelum Islam jelas memperlihatkan kecenderungan politik Pas yang sanggup memanipulasi sejarah Islam demi meraih keuntungan politik.
"AMK Perak berpandangan bahawa tindakan seperti ini amat berbahaya kerana bukan sahaja mengelirukan masyarakat awam, malah membuka ruang kepada penyelewengan fakta agama serta penghinaan terhadap tokoh-tokoh agung Islam yang dimuliakan umat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mendakwa pendekatan tersebut mencerminkan budaya politik kebencian yang semakin menular dalam ceramah politik pembangkang.
"Pas tidak boleh terus berselindung di sebalik imej “parti Islam” sedangkan pentas ceramah mereka semakin dipenuhi budaya takfiri, politik kebencian serta penggunaan agama secara semberono untuk menyerang lawan politik dan mempengaruhi emosi rakyat," katanya.
Tambah beliau, ucapan seumpama itu juga berpotensi mencetuskan kekeliruan pemahaman akhlak dalam kalangan masyarakat kerana peribadi sahabat Rasulullah s.a.w bukanlah bahan jenaka atau alat propaganda politik.
Sehubungan itu, AMK Perak menggesa kepimpinan Pas menghentikan budaya persendaaan berkenaan.
"Kami menggesa kepimpinan Pas menghentikan budaya politik ekstrem dan retorik agama yang merosakkan keharmonian masyarakat serta mencemarkan kesucian Islam demi kepentingan politik sempit.
"Islam mengajar adab dan kebenaran, bukan fitnah serta kebencian," katanya lagi.




Comments