Ahli politik Sabah guna dokumen palsu mohon tanah dilapor polis
- Akmal Manaf

- 16 minutes ago
- 1 min read

Satu laporan polis telah dibuat terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah berhubung dakwaan penggunaan dokumen palsu.
Presiden Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM), Raymond Ahuar berkata, laporan polis itu dibuat selepas pihaknya menerima salinan Akuan Bersumpah (SD) daripada salah seorang penama yang didakwa terlibat dalam permohonan tanah kepada ADUN berkenaan bagi pihak penduduk kampung.
Bagaimanapun, katanya, penduduk tersebut menafikan pernah memohon tanah.
"Individu tersebut menafikan penglibatan beliau dan menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai perkara tersebut.
"Perkara tersebut dibangkitkan kerana ADUN itu sebelum ini telah merujuk kepada permohonan penduduk kampung itu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, kata Raymond, ADUN terbabit juga didakwa menggunakan dokumen berkenaan untuk memohon ratusan ekar tanah untuk kepentingannya.
"Dokumen berkenaan juga didakwa telah digunakan untuk alasan memohon tanah Kerajaan Negeri Sabah seluas 320 ekar atas namanya sendiri sebelum permohonan tersebut dibatalkan selepas menerima bantahan daripada pelbagai pihak.
"Dokumen yang sama juga dipercayai telah digunakan sebagai salah satu dokumen dalam saman sivil terhadap saya," katanya lagi.
Raymond berkata, laporan polis itu dibuat agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya mengikut lunas undang-undang.




Comments