top of page

Titi kayu uzur Kampung Sungai Dalam: Jangan tunggu berlaku kemalangan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
1 hour ago
2 min read
Penduduk  Kampung Sungai Dalam, Miri membaiki sendiri titi yang uzur dan lapuk
Penduduk  Kampung Sungai Dalam, Miri membaiki sendiri titi yang uzur dan lapuk

Penduduk Kampung Sungai Dalam, Miri masih terpaksa menggunakan titi kayu yang rosak dan semakin uzur meskipun permohonan supaya kemudahan berkenaan dibaiki dan dinaik taraf telah beberapa kali dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab.


Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Sibuti, Zulhaidah Suboh berkata, keadaan itu membimbangkan kerana titi berkenaan menjadi laluan harian penduduk termasuk keluarga dan warga emas.


"Titian kayu ini bukan sekadar struktur kayu. Ia merupakan laluan harian penduduk, termasuk keluarga, warga emas dan masyarakat setempat yang bergantung kepadanya untuk menjalani urusan seharian," katanya dalam kenyataan.


Menurutnya, kerosakan titi yang telah beberapa kali dibangkitkan tidak seharusnya dianggap sebagai isu kecil atau ditangguhkan tanpa penyelesaian menyeluruh.


Prihatin dengan keadaan itu, Zulhaidah berkata beliau mengambil inisiatif menyumbangkan papan bagi menggantikan bahagian titi kayu yang rosak dan uzur.


Zulhaidah (bertudung) bersama penduduk mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Malaysia
Zulhaidah (bertudung) bersama penduduk mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Malaysia

Beliau berkata, pada cuti Hari Malaysia, 16 September lalu, penduduk Kampung Sungai Dalam turut bergotong-royong melakukan pembaikan sementara bagi memastikan laluan itu lebih selamat digunakan.


"Usaha masyarakat ini wajar dihargai, tetapi ia juga membawa satu mesej yang sangat jelas, penduduk tidak sepatutnya terpaksa memikul sendiri tanggungjawab membaiki kemudahan asas yang telah sekian lama memerlukan perhatian pihak berkuasa," katanya.


Zulhaidah menegaskan sumbangan papan dan kerja gotong-royong penduduk hanya merupakan penyelesaian sementara dan tidak boleh menggantikan kerja naik taraf yang sempurna, selamat serta berkekalan.


Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang bertanggungjawab terhadap kemudahan berkenaan turun padang melihat sendiri keadaan titi serta mengambil tindakan segera untuk melaksanakan pembaikan dan naik taraf secara menyeluruh.


“Jangan tunggu sehingga berlaku kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa barulah semua pihak mahu bertindak. Aduan penduduk telah dibuat. Keadaan titi kayu telah diketahui. Kini yang diperlukan bukan lagi alasan atau janji, tetapi tindakan," katanya.


Beliau berkata, penduduk sudah mengambil inisiatif melalui kerja gotong-royong, namun tanggungjawab memastikan kemudahan asas berada dalam keadaan selamat tetap perlu dilaksanakan oleh pihak berkuasa yang berkaitan.


"Hari Malaysia sepatutnya mengingatkan kita bahawa pembangunan dan keselamatan asas perlu dirasai oleh rakyat di semua kawasan, bukan sekadar menjadi slogan," katanya.


Zulhaidah turut berharap titi kayu yang uzur itu tidak menjadi simbol kepada permohonan penduduk yang terus tertangguh tanpa penyelesaian.


"Penduduk sudah bersuara. Penduduk sudah bergotong-royong. Penduduk juga telah melakukan apa yang mereka mampu. Kini tiba masanya pihak yang bertanggungjawab pula melaksanakan tanggungjawab mereka.


"Jangan biarkan sebuah titi kayu yang rosak menjadi simbol kepada permohonan rakyat yang terus terbiar," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page