top of page

'Titah pengampunan Najib dihormati, pelaksanaan perlu diperjelas'

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
6 hours ago
1 min read
Ketua Penerangan AMANAH Wilayah Persekutuan, Mejar (B) Razali Zakaria
Ketua Penerangan AMANAH Wilayah Persekutuan, Mejar (B) Razali Zakaria

Titah pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu dihormati manakala sebarang persoalan berhubung pelaksanaannya mesti diselesaikan menerusi saluran undang-undang.


Ketua Penerangan AMANAH Wilayah Persekutuan, Mejar (B) Razali Zakaria berkata, pembayaran denda RM50 juta oleh Najib perlu diambil kira dalam memahami kedudukan pelaksanaan titah pengampunan berkenaan.


Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa menjalani baki hukuman di rumah perlu dilakukan secara tertib mengikut lunas undang undang.


"RM50 juta telah dibayar. Titah pengampunan bersyarat hendaklah dihormati, sementara persoalan pelaksanaan mesti diselesaikan segera melalui saluran undang-undang.


"Namun, menjalani hukuman di rumah bukan bermakna bebas tanpa syarat," katanya dalam hantaran di media sosial.


Razali turut mengingatkan rakyat bahawa pengampunan bagi kes SRC International tidak boleh ditafsirkan sebagai penyelesaian terhadap kes kedua Najib, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagaimana yang cenderung dibayangkan di media sosial.


Selain itu, katanya, rakyat berhak mendapat penjelasan tepat mengenai kedudukan undang-undang dan pelaksanaan titah berkenaan bagi mengelakkan kekeliruan berpanjangan.


"Rakyat berhak mendapat penjelasan yang tepat. Jangan biarkan kekeliruan berpanjangan menghakis keyakinan terhadap institusi negara," ujarnya.


Beliau menegaskan semua pihak perlu menghormati titah diraja dan dalam masa yang sama juga proses kehakiman bagi memastikan prinsip keadilan serta kedaulatan undang-undang terus dipelihara.


"Junjung titah, hormati mahkamah, tegakkan keadilan," kata Razali lagi.


Terdahulu, banyak pihak mempersoalkan mengapakah Najib tidak dibenarkan ditahan di rumah sebaik sahaja denda RM50 juta dibayar.


Padahal, mereka maklum bahawa Malaysia tidak mempunyai akta tahanan di rumah dan belum ada kes duluan yang melibatkan banduan ditahan di rumah.


Oleh itu, tindakan Peguam Negara merujuk ke mahkamah beberapa hal yang perlu ditafsir berhubung titah Yang di-Pertuan Agong sebelum ini adalah wajar dan tepat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page