Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz menggesa semua pihak menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu demi masa depan negara.
Beliau berpandangan, inisiatif yang diusahakan oleh Agong dan Raja-Raja Melayu adalah satu penzahiran bahawa negara kini berhadapan dengan situasi yang amat kritikal dan akibat dari kegagalan pihak kerajaan selaku cabang eksekutif untuk menyelesaikannya dengan baik.
“Justeru ABIM menggesa semua pihak mengambil maklum serta menjunjung tinggi titah serta penyataan yang dizahirkan dengan sidang Parlimen perlu diadakan segera.
“Gesaan ini selari dengan penyataan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu.
“Mekanisme semak dan imbang menerusi persidangan parlimen ini penting untuk menyempurnakan strategi menangani penularan wabak Covid-19 serta kesannya dengan tuntas.
“Bahkan Majlis Raja-Raja Melayu juga menegaskan,” Kaedah dan prosidur persidangan seperti yang sedang diamalkan di beberapa buah negara yang terbukti dapat mengawal rangkaian jangkitan virus Covid 19 wajarlah diperkenalkan dan diterima pakai di negara ini”.
“ABIM berpandangan bahawa berasaskan titah yang dikeluarkan, mengisyaratkan bahawa Parlimen harus bersidang segera iaitu sebelum tamatnya tempoh darurat,” katanya.
Pada masa sama, Faisal menganggap pelbagai pihak perlu dilibatkan secara inklusif untuk melandaikan penularan wabak Covid-19 seperti yang dititahkan Agong.
“ABIM menegaskan penting untuk setiap segmen masyarakat dibabitkan untuk melaksanakan strategi melandaikan jangkitan Covid-19.
“Pembabitan ini tidak sahaja terhad dalam bentuk sumbang saran.
“Prosedur birokrasi perlu dikurangkan untuk membolehkan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, tanpa mengira pada kedudukan parti mendapat akses terus pada vaksin untuk disampaikan kepada rakyat di akar umbi.
“Kesimpulannya titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu dijunjung untuk dilaksanakan tanpa sebarang dalih kerana ia melibatkan persoalan hidup mati rakyat Malaysia,” katanya.
Comments