Rumah Dr Fuziah ‘diserbu’ ahli KEADILAN Kuantan, erat silaturahim Aidilfitri
- Redzuan Shamsudin
- 2 minutes ago
- 2 min read

Kediaman Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh di Pantai Sepat menjadi tumpuan apabila ‘diserbu’ anggota parti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Program yang berlangsung di Pantai Sepat itu menghimpunkan warga ranting KEADILAN Cabang Kuantan, termasuk mereka yang tidak pulang ke kampung, khususnya dalam kalangan anggota bukan Melayu.
Menurut Fuziah, beliau mengambil kesempatan menyambut Aidilfitri bersama keluarga di Kuantan tahun ini sambil membuka pintu rumah kepada anggota parti dan komuniti setempat.
"Tahun ini saya bersama suami dan anak-anak berhari raya di Pantai Sepat. Kesempatan ini saya gunakan untuk menjemput warga kejiranan dan anggota KEADILAN hadir serta berkongsi perkembangan dasar dan program Kerajaan MADANI," katanya.
Naib Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Jeff Lee Chee Mun berkata kunjungan tersebut memberi peluang kepada anggota akar umbi berinteraksi secara dekat dengan pimpinan tertinggi parti.

"Kami mengambil peluang ini untuk beramah mesra dengan pimpinan dan mendengar sendiri penjelasan mengenai isu-isu semasa serta hala tuju parti," ujarnya.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda KEADILAN Kuantan, Yap Wein Fook, berkata program itu membantu mengeratkan hubungan sesama anggota parti pelbagai latar belakang.
"Sebagai anak muda, saya hargai peluang mendengar sendiri perkembangan parti dan mengukuhkan silaturahim antara anggota," katanya.
Bagi Ketua Ranting Seri Cempaka, Mohd Supian Abdul Wahid, sambutan tersebut mencerminkan semangat kebersamaan dalam perjuangan parti.
"Program seperti ini mempertautkan hubungan selepas sebulan berpuasa dan menguatkan semangat kerja berpasukan," ujarnya.
Ketua Ranting Galing Madani, Cory Jia Jia, pula menyifatkan pengalaman berhari raya bersama pimpinan utama parti sebagai sesuatu yang bermakna.
"Saya teruja dengan pendekatan inklusif kepimpinan yang merangkul semua segmen masyarakat," katanya.
Sementara itu, Ketua Ranting Alor Akar Madani, Vijayakumar Balasubramaniam, menyatakan keyakinan terhadap KEADILAN sebagai pilihan terbaik bagi pengundi di Parlimen Kuantan.
Beliau berkata budaya kepelbagaian dan keterangkuman yang diterapkan mampu memperkukuh sokongan rakyat menjelang pilihan raya akan datang.
Program tersebut dilihat berjaya memperkukuh hubungan antara pimpinan dan akar umbi, selain menyemarakkan semangat perpaduan dalam parti berbilang kaum itu.
