Titah Adendum: Hormati keputusan mahkamah, Raja Berperlembagaan
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 2 min read

Semua pihak digesa menghormati sistem pemerintahan negara yang berasaskan Raja Berperlembagaan, bukannya Raja Mutlak dan kuasa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan serta kedaulatan undang-undang, demikian kata aktivis undang-undang, Liyana Marzuki.
Dalam satu hantaran di media sosial, Liyana berkata, prinsip itu telah lama ditegaskan termasuk titah bekas Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Februari lalu yang mengingatkan semua pihak supaya menghormati undang-undang dan institusi kehakiman.
Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak pelaksanaan tahanan rumah ke atas Najib berasaskan Titah Adendum membuktikan proses kehakiman berjalan selaras dengan Perlembagaan negara.
"Hari ini mahkamah telah memutuskan bahawa tiada tahanan rumah kerana adendum yang didakwa itu adalah tidak berperlembagaan," katanya.
Liyana menyifatkan tindakan keras sesetengah pemimpin politik terhadap keputusan itu hampir mencabar kewibawaan Mahkamah sedangkan YDPA sendiri telah lama menasihatkan agar semua pihak menghormati undang-undang.
"Yang membuat keputusan ialah mahkamah, bukan kerajaan. Tetapi ada pihak mengamuk seolah-olah Perdana Menteri dan Kabinet boleh mengarahkan mahkamah ikut kehendak mereka," katanya.
Menurut beliau, andaian sedemikian bercanggah dengan prinsip pengasingan kuasa, yang menjadi asas kepada sistem demokrasi berperlembagaan negara.
Liyana turut mengingatkan bahawa Najib Razak dijatuhi hukuman dan mula menjalani pemenjaraan ketika UMNO masih menerajui kerajaan, dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ketika itu.
"Jika ketika UMNO menjadi kerajaan pun tiada apa yang dilakukan untuk menyelamatkan bekas Perdana Menteri tersebut, mengapa apabila kerajaan bertukar, kerajaan semasa pula yang dipersalahkan?" soalnya.
Mengulas dari sudut strategi guaman, Liyana berkata ramai peguam berpandangan pendekatan peguam bekas Perdana Menteri itu adalah tidak tepat, apabila isu Titah Adendum dibawa ke mahkamah sebelum selesai separuh tempoh hukuman.
"Pandangan ramai peguam, sepatutnya tunggu separuh hukuman dan kemudian terus memohon pengampunan penuh untuk kebebasan segera.
"Pendekatan itu pernah berlaku dalam kes Datuk Seri Harun Idris (bekas MB Selangor) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.
Beliau berkata, kegagalan strategi tersebut bukan sahaja menutup laluan undang-undang yang lebih realistik, malah mencetuskan polemik Perlembagaan yang tidak perlu.
Terdahulu Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching hari ini menolak permohonan semakan Najib yang juga bekas Presiden UMNO bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain untuk melaksanakan Titah Adendum.
Susulan itu bekas Perdana Menteri itu kekal menjalani baki hukuman penjaranya di Penjara Kajang, bersabit kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Hakim memutuskan demikian selepas berpuas hati isu tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Justeru itu, Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum itu tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan bagi maksud menjalani tahanan rumah di negara ini.
Titah Adendum berkenaan dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Dalam semakan kehakiman itu, Najib memohon satu perintah mandamus supaya kerajaan melaksanakan titah itu dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya untuk meneruskan hukuman penjara di bawah tahanan rumah.





