Pemandu mabuk mesti dihukum lebih keras, wajibkan program pemulihan
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Kerajaan digesa memperketat hukuman terhadap pemandu mabuk susulan kes kemalangan maut yang terus berlaku walaupun undang-undang sedia ada telah dipinda.
Bekas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mokhtar (gambar), berkata walaupun peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah diperketatkan, realitinya kes melibatkan pemandu di bawah pengaruh alkohol masih berlaku dan meragut nyawa orang awam.
"Persoalannya, sampai bila kita mahu bertindak hanya selepas tragedi berlaku?" tanyanya dalam satu kenyataan media.
Sehubungan itu, Fakhrulrazi mengemukakan beberapa cadangan bagi memperkukuh aspek pencegahan dan keadilan, termasuk menaikkan hukuman minimum penjara kepada sekurang-kurangnya 15 tahun bagi kes yang menyebabkan kematian.
"Hukuman yang tegas adalah mesej jelas bahawa nyawa manusia tidak boleh dipermainkan," ujarnya.
Beliau turut mencadangkan larangan memandu seumur hidup bagi pesalah yang menyebabkan kematian atau kesalahan berulang.
"Mereka telah membuktikan bahawa mereka adalah risiko kepada masyarakat," katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan penggunaan teknologi seperti sistem “alcohol interlock” diwajibkan ke atas pesalah sebelum dibenarkan memandu semula.
Dalam aspek penguatkuasaan, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperhebat sekatan jalan raya secara rawak serta penggunaan alat pengesan alkohol secara meluas.
Beliau juga menekankan keperluan program pemulihan wajib kepada pesalah bagi meningkatkan kesedaran terhadap bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
"Kerajaan dicadang memperkenalkan mekanisme pampasan mandatori kepada mangsa dan keluarga mereka. Keadilan bukan sahaja menghukum pesalah, tetapi juga membela mangsa," katanya.
Selain itu, kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan mahkamah khas trafik bagi mempercepatkan proses keadilan.
"Kes yang tertangguh hanya menambah penderitaan keluarga mangsa," katanya.
Beliau turut menggesa ahli Parlimen membawa isu tersebut ke Dewan Rakyat agar tindakan konkrit dapat dilaksanakan.
Tambah beliau, isu pemandu mabuk bukan sekadar soal undang-undang, tetapi melibatkan nilai kemanusiaan serta kegagalan sistem yang perlu diperbaiki.
"Setiap nyawa yang hilang akibat kecuaian pemandu mabuk adalah satu kegagalan sistem yang boleh kita perbaiki," katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa dalam kerangka perundangan sedia ada, pelaksanaan sistem diyat merupakan pendekatan terbaik dalam membela nasib waris mangsa.




Comments