Selaras harga minyak secara terkawal pastikan rakyat cukup bekalan - TPM
- Helmi Mohd Foad

- 44 minutes ago
- 2 min read

Pelarasan harga bahan api tidak bersubsidi dilaksanakan secara terkawal bagi mencerminkan realiti pasaran global dengan tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat, demikian menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau menjelaskan pelarasan harga bahan bakar itu dilakukan bagi memastikan bekalan tersebut mencukupi dan stabil di tengah krisis tenaga global susulan konflik Asia Barat.
"Hasil daripada penyelarasan ini, bekalan petroleum negara kekal mencukupi dan stabil, rantaian bekalan dipantau secara harian dan pelan kontingensi sentiasa bersedia serta dikemas kini.
"Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk melindungi rakyat," katanya dalam taklimat krisis tenaga global di Putrajaya hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Tranformasi Air menegaskan negara ini berada dalam keadaan terkawal, bersedia dan mengambil langkah proaktif untuk mengurus kesan krisis ini.
"Namun kita harus berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya krisis ini berlarutan," ujarnya.
Beliau berkata kerajaan yang memahami kebimbangan rakyat mengenai kesan krisis berkenaan telah mengambil pendekatan jelas, tersusun dan berfokus kepada beberapa keutamaan terutama dari segi jaminan bekalan.
Selain memantau rantaian bekalan setiap hari, jelas Fadillah, kerajaan turut menyediakan pelan kontingensi termasuk mendapatkan bekalan daripada pasaran alternatif sekiranya gangguan berpanjangan berlaku.
Katanya kerajaan mengekang kenaikan harga bahan api dengan mengekalkan RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter manakala penyelarasan harga bahan api tidak bersubsidi dilakukan secara terkawal dan berperingkat.
"Walaupun harga minyak global meningkat, kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter," katanya mengingatkan rakyat tentang usaha kerajaan mengekang kenaikan harga minyak.
Bagi diesel, perlindungan terus diberikan melalui SKPS kepada sektor logistik pada harga RM2.05 seliter, manakala bagi SKDS, RM1.88 seliter untuk pengangkutan awam dan RM2.15 seliter untuk pengangkutan darat barangan, katanya.
"Bantuan tunai bulanan RM300 BUDI Diesel juga diberikan kepada pemandu kenderaan diesel yang layak," jelasnya lagi.
Selain itu, sektor yang bergantung kepada penggunaan bahan api untuk kelangsungan pendapatan seperti nelayan dan agri-komoditi juga menerima bantuan diesel.
Kerajaan juga mengekalkan had BUDI95 sebanyak 800 liter sebulan untuk pemandu e-hailing bagi memastikan kos operasi mereka kekal terkawal dan tidak dipindahkan secara langsung kepada pengguna.
"Kerajaan juga terus memantau kesan kepada kos sara hidup. Bekalan makanan asas kekal mencukupi, pemantauan harga dilaksanakan setiap hari di seluruh negara dan tindakan tegas diambil terhadap kenaikan harga yang tidak munasabah.
"Pendekatan kerajaan adalah jelas iaitu melindungi rakyat tanpa menjejaskan kestabilan jangka panjang ekonomi negara," ujarnya.
Dalam taklimat itu, Fadillah turut mengumumkan langkah kerajaan memperketat penggunaan tenaga di bangunan Kerajaan dengan suhu pendingin hawa ditetapkan pada minimum 24 darjah Celsius dan penjawat awam digalakkan memakai pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tempatan.
Pelaksanaan Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi sektor awam akan dimulakan secara berperingkat bermula 15 April, bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan kesesakan mobiliti harian, katanya.




Comments