Kerajaan belanja RM4 bilion sebulan beri subsidi minyak – Suhaizan
- Redzuan Shamsudin

- Apr 2
- 2 min read

Kerajaan MADANI membelanjakan berbilion ringgit sebulan bagi menyerap kenaikan kos bahan api global demi memastikan harga minyak kekal terkawal untuk rakyat, kata Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat.
Beliau berkata langkah tersebut diambil dalam keadaan dunia berdepan krisis tenaga susulan ketegangan geopolitik termasuk serangan ke atas Iran sejak 28 Februari lalu.
"Saya berharap rakyat Malaysia memahami bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berusaha sedaya upaya, dan kerajaan membelanjakan kira-kira RM4 bilion sebulan untuk menyerap kos tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kerajaan terus menguruskan inflasi bahan api dengan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi melalui program BUDI95 pada kadar RM1.99 seliter walaupun harga minyak antarabangsa meningkat.

"Harga bersubsidi bagi petrol yang paling banyak digunakan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia," ujarnya.
Dalam masa sama, Suhaizan menjelaskan bahawa kerajaan telah menyelaraskan kuota subsidi kepada sekitar 200 liter sebulan bagi setiap individu, manakala bagi diesel pula sektor utama masih menerima subsidi.
Beliau turut memaklumkan langkah tambahan termasuk pelaksanaan kerja dari rumah bagi kakitangan kementerian, agensi dan syarikat milik kerajaan bermula 15 April ini sebagai usaha menjimatkan penggunaan tenaga.
Mengulas lanjut, Suhaizan mengecam penyebaran berita palsu berkaitan harga bahan api dan elektrik yang disifatkan mengelirukan rakyat.
"Dakwaan palsu mengenai harga bahan api dan elektrik ini perlu dihentikan," katanya.
Mantan Speaker DUN Johor itu membandingkan situasi Malaysia dengan negara jiran seperti Thailand dan Indonesia yang berdepan kenaikan harga bahan api serta pelaksanaan langkah berjimat yang lebih ketat.
"Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu bersama, sehati sejiwa menghadapi cabaran ini. Kita boleh melihat negara jiran kita Thailand di mana harga bahan api telah melonjak disebabkan ketidaktentuan global, dengan diesel mencecah 40 baht seliter dan dijangka kekal tinggi, berikutan pemotongan subsidi," katanya.
Tambah beliau, walaupun Malaysia mempunyai minyak namun jumlah pengeluaran tidak mencukupi untuk menampung keperluan domestik, justeru sebahagian minyak berkualiti tinggi dijual ke pasaran strategik dan separuh keperluan diimport.
Bagaimanapun, katanya, keadaan di negara ini lebih baik berbanding Indonesia misalnya yang mula mencatu pembelian minyak rakyatnya.
"Kerajaan (Indonesia) mengumumkan catuan bahan api dengan had 50 liter bagi setiap kenderaan dan mewajibkan penjawat awam bekerja dari rumah.
"Penggunaan kenderaan rasmi akan dikurangkan separuh dan perjalanan kerja untuk pegawai kerajaan dikurangkan sebanyak 70 peratus," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu dan tabah dalam menghadapi cabaran semasa.




Comments