top of page

Titah adendum: Dakwaan bekas AG kelirukan mahkamah tidak berasas

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read


Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa Tan Sri Ahmad Terrirudin telah menjalankan tugas-tugas beliau sebagai peguam negara sebelum ini selaras dengan fungsi perlembagaan jawatan tersebut.


Jabatan itu dalam kenyataan berkata dakwaan bahawa bekas peguam negara itu telah mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas sama sekali dan ia kini sedang diteliti oleh badan kehakiman tertinggi negara.


Kenyataan tersebut sebagai maklum balas kepada kenyataan peguam bekas Perdana Menteri Seri Najib Tun Razak, Tetuan Shafee & Co hari ini yang mengesahkan bahawa satu permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin difailkan pada 21 Mei lalu.


"Isu yang dibangkitkan dalam permohonan tersebut kini merupakan subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan, yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai ini.


"Isu-isu yang dijadikan asas kepada permohonan komital akan dihujahkan secara menyeluruh dalam prosiding rayuan tersebut," ujar Jabatan Peguam Negara.


Laporan media hari ini menyebut Najib memfailkan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara Ahmad Terrirudin supaya dipenjarakan kerana menghina mahkamah membabitkan titah adendum.


Permohonan bagi mendapatkan kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Ahmad Terrirudin yang kini hakim Mahkamah Persekutuan itu difailkan melalui Tetuan Shafee & Co pada Rabu lalu.


Firma tersebut melalui surat bertarikh 20 Januari lalu menggesa bekas Peguam Negara itu menyatakan sebab mengapa beliau tidak patut dikenakan tindakan penghinaan mahkamah berhubung titah adendum.


Jabatan Peguam Negara menjelaskan Mahkamah Tinggi pada 28 April 2025 telah membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding sehingga keputusan rayuan tersebut diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan.


Pada 22 Mei 2025, Mahkamah Tinggi turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan tersebut membabitkan semua prosiding sedia ada dan akan datang yang berkaitan dengan kes ini, termasuk prosiding penghinaan mahkamah, jelasnya.


"Sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan ketika perintah penangguhan masih berkuat kuasa merupakan satu tindakan langsung melanggar perintah mahkamah dan menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur.


"Jabatan Peguam Negara tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya permohonan tersebut diketepikan sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.


"Tindakan untuk memulakan prosiding komital sementara rayuan ini masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang, dan prejudis," menurut kenyataan itu.


Kata kenyataan itu lagi, semua pihak diseru agar membenarkan Mahkamah Perekutuan meneliti dan memutuskan isu-isu perundangan dan fakta yang dikemukakan tanpa tekanan, spekulasi atau tindakan luar yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.


Laporan media pada 28 April lalu menyatakan Mahkamah Tinggi memerintahkan semua prosiding membabitkan semakan kehakiman Najib berhubung titah adendum di mahkamah itu ditangguhkan sehingga rayuan Peguam Negara didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page