Tingkatkan profesionalisme, integriti pasukan polis - KEADILAN Sarawak
- Redzuan Shamsudin
- Mar 25, 2021
- 1 min read

KEADILAN Sarawak menghormati usaha pasukan polis terutama Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk meningkatkan profesionalisme dan integriti pasukan berkenaan.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit, perkhidmatan polis yang dihormati dan dipandang tinggi akan meningkatkan keyakinan rakyat Malaysia terhadap keseselamatan diri dan juga persekitaran mereka.
"Sempena menyambut Hari Polis Ke-214 KEADILAN Sarawak ingin mengucapkan tahniah dan Selamat Hari Polis kepada seluruh anggota polis di seluruh negara
"KEADILAN Sarawak amat menyokong usaha - usaha dan tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk memperbaiki perbuatan segelintir pegawai dan anggota polis yang dilihat menyalahgunakan kuasa, terutamanya berkenaan kewujudan "kartel" di dalam pasukan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Abun lagi, KEADILAN Sarawak beranggapan kepimpinan Ketua Polis Negara hari ini adalah peluang terbaik untuk pasukan itu mempertingkatkan intergriti dan profesionalisme mereka agar terus dihormati dan menjadi penaung kepada rakyat Malaysia yang cintakan keamanan.
KEADILAN Sarawak turut berharap kehadiran pegawai-pegawai polis di mana-mana aktiviti sah rakyat akan sentiasa disenangi dan dialu-alukan, bukan untuk ditakuti atau menimbulkan perasaan syak.
"Dalam zaman teknologi maklumat dan ledakan media sosial, kesilapan kecil anggota boleh tersebar sangat pantas dan boleh mencacatkan nama baik polis yang sebenarnya sentiasa baik.
"KEADILAN Sarawak berharap polis tidak membenarkan pasukan itu diperkudakan oleh mana-mana parti politik untuk menekan parti politik lawan demi kepentingan politik mereka," katanya lagi.
Comments