top of page

Tingkatkan kempen vaksinasi di Perak, libatkan lebih banyak sukarelawan - KEADILAN


Kerajaan Negeri Perak seharusnya memastikan proses suntikan vaksin ke atas rakyat negeri itu berjalan lancar di samping memberi bantuan tertentu kepada rakyat biasa yang sedang menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.


Menurut Naib Pengerusi KEADILAN Perak, Tan Kar Hing, kelembapan Kerajaan Negeri menangani situasi pandemik Covid 19 ketika ini amat memprihatinkan kerana banyak rakyat yang mengalami tekanan kewangan dan terjejas sumber pendapatan masing-masing.


"Kerajaan Negeri perlu mengambil inisiatif bertemu dengan pihak berkepentingan termasuk wakil rakyat, baik kerajaan atau pembangkang, golongan profesional perubatan, wakil persatuan peniaga dan para wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memahami permasalahan yang sedang dihadapi.


"Kita telah pun sampai ke pertengahan tahun 2021, namun bantuan dan insentif yang diumumkan sebelum ini tidak mampu membantu mereka, dengan keadaan PKP 3.0 dikuatkuasakan dan penularan wabak yang semakin serius. Tambahan pula jika lockdown dikuatkuasakan pada bila-bila masa, ramai di kalangan mereka tentu akan terjejas," kata Kar Hing dalam satu kenyataan.


ADUN Simpang Pulai itu juga mencadangkan dua perkara yang harus dilakukan segera oleh Kerajaan Negeri, iaitu pencegahan pandemik covid dalam bidang perubatan dan pemulihan ekonomi masyarakat.


Beliau mengambil contoh, 31 buah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikatakan oleh Menteri Besar disediakan dalam negeri, namun difahamkan kebanyakan PPV masih belum beroperasi kerana kesuntukan dana dan anggota perubatan serta sukarelawan.


“Jika kita lihat kepada jumlah pemberian vaksin dalam negeri, 60 ribu orang telah menyempurnakan proses vaksinasi, iaitu sekitar 8% mengikut jumlah yang berdaftar. Namun jika kita lihat kepada angka pendaftaran dalam negeri, ianya hanya sekitar 36% sahaja dan jauh ketinggalan berbanding dengan kadar pendaftaran nasional sekitar 43%.


"Kerajaan Negeri seharusnya memastikan PPV bersiap saga dalam masa terdekat dan menyediakan lebih banyak PPV khususnya di kawasan luar bandar seperti perkampungan Orang Asal dan kawasan terpencil. Pengambilan sukarelawan mahupun anggota perubatan yang pencen juga mampu mempertingkatkan lagi kadar pengambilan vaksin dan pendaftaran.


"Selain itu, kerajaan diharap menggerakkan jentera kerajaan tempatan dan peringkat kampung bagi memastikan kadar pendaftaran dipercepatkan. Pengambilan vaksin secara keseluruhan akan menjaminkan kesihatan dan pemulihan ekonomi berbanding dengan lebih banyak PKP," katanya lagi.


Menurut Kar Hing, kerajaan juga boleh pertimbangkan pengambilan tenaga pekerja sektor pelancongan yang kini tidak dapat beroperasi untuk menjadi pasukan sokongan di PPV atau juru kempen kesedaran pengambilan vaksin.


Katanya, golongan itu telah biasa dalam sektor perkhidmatan dan tentunya kepakaran mereka dapat membantu.

"Bagi pemulihan ekonomi sosial pula bantuan seharusnya diberikan kepada sektor pelancongan yang kini dilarang untuk beroperasi. Hotel, resort dan taman tema memerlukan kos operasi yang tinggi bagi meneruskan perniagaan mereka.


"Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan diskaun atau pengecualian cukai tanah dan cukai taksiran, ini amat membantu mereka dalam soal pengaliran tunai (cash flow) perniagaan masing-masing," katanya lagi.


Beliau juga berpandangan masalah sosial dan keluarga menjadi lebih berat sepanjang PKP. Masalah pengangguran, potongan gaji, kekurangan rezeki perniagaan juga akan menyebabkan ramai golongan M40 dan B40 terjejas.


Oleh itu, pemadanan pekerjaan, pusat pelindungan wanita, khusus kaunselling, bantuan kepada golongan bawahan harus dipercepatkan sebelum segala masalah sosial masyarakat ini timbul.


0 comments

Kommentare


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page