top of page

Tangguh PRN: Krisis ekonomi global, tenaga perlu difahami rakyat

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 4 hours ago
  • 2 min read

Cadangan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan agar menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka berasaskan ketidaktentuan ekonomi global dilihat mempunyai asas tersendiri.


Ketua Penerangan KEADILAN Cabang Hang Tuah Jaya, Ts Yazid Borhan (gambar) bagaimanapun mempersoalkan sejauh manakah keseriusan pendekatan tersebut diterjemahkan dalam tindakan di peringkat negeri.


"Ketika alasan ekonomi digunakan untuk menangguhkan pilihanraya, dalam masa sama kita melihat penganjuran rumah terbuka secara besar-besaran sehingga ke tahap konsert mega.


"Rumah terbuka bukan satu kesalahan, malah ia sebahagian daripada tradisi dan ruang merapatkan hubungan.


"Tetapi dalam suasana krisis, pendekatan yang tidak mencerminkan sikap berjaga-jaga memberi isyarat yang bercanggah kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Yazid lagi, keadaan tersebut juga menyebabkan timbul kekeliruan apabila pemimpin dilihat seolah-olah tidak menganggap krisis ekonomi global sebagai sesuatu yang serius.


Katanya, rakyat mula mempersoalkan dan ada yang menyalahkan Kerajaan Persekutuan seolah-olah krisis tenaga yang sedang berlaku ini dibesar-besarkan.


"Hakikatnya tekanan ekonomi ini berpunca daripada faktor global yang nyata dan sedang dirasai di seluruh dunia.


"Lebih membimbangkan, hampir tiada ADUN Barisan Nasional (BN) di Melaka yang secara konsisten bercakap kepada rakyat mengenai keperluan untuk berwaspada.


"Satu-satunya suara yang kedengaran datang daripada ADUN Merlimau (Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh) yang mencadangkan Malaysia mencontohi pendekatan Thailand dalam mengawal harga minyak.


"Walaupun cadangan itu boleh diperdebatkan, sekurang-kurangnya ia mengiktiraf kewujudan isu ini. Yang lain pula dilihat seolah-olah selesa dengan keadaan biasa, seakan-akan tiada krisis yang berlaku," ujarnya.


Dalam kenyataan sama, beliau berkata tindakan di peringkat negeri perlu selari jika benar terdapat keseriusan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global akibat perang di Asia Barat.


Kata Yazid, pemimpin harus membantu rakyat memahami keadaan sebenar, menggalakkan sikap berjimat cermat dan menunjukkan contoh melalui cara pengurusan serta perbelanjaan yang berhemah.


Katanya, krisis tidak boleh dijadikan alasan dalam satu keadaan namun mengabaikan keadaan yang lain, dan sebagai sebuah Kerajaan Perpaduan, keikhlasan itu perlu dizahirkan melalui tindakan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page