top of page

Pembangkang PN tiada idea bantu negara keluar krisis tenaga, hanya beretorik

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 4 days ago
  • 2 min read

Pembangkang khususnya Perikatan Nasional (PN) dilihat gagal memainkan peranan semak dan imbang secara berkesan apabila terus mengulangi kritikan tanpa mengemukakan sebarang idea atau pelan alternatif yang jelas, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin (gambar).


Menurut beliau, kegagalan itu turut diakui secara terbuka oleh tokoh politik seperti Khairy Jamaluddin yang menyifatkan pembangkang sebagai “paling gagal” dalam sejarah kerana tidak berupaya menawarkan cadangan bernas kepada rakyat.


"Pembangkang tidak berdaya memberi check and balance yang berkesan. Mereka juga tidak mampu mengemukakan cadangan yang boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat.


"Pendekatan pembangkang ketika ini juga lebih menjurus kepada politik semata-mata, termasuk memainkan sentimen isu harga minyak tanpa mengambil kira faktor global yang sebenar.


"Isu kenaikan harga minyak bukan berpunca daripada kelemahan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya didorong oleh ketidaktentuan geopolitik dunia, khususnya konflik di Asia Barat melibatkan Iran dan Amerika Syarikat.


"Ini adalah masalah global. Banyak negara berdepan kekurangan bekalan dan harga minyak mencecah RM4 hingga RM5 seliter. Tetapi Malaysia masih mampu mengekalkan harga RON95 pada RM1.99, antara yang terendah di dunia," kata Tze Tzin dalam wawancara khas bersama Suara Keadilan.


Tambah beliau, bekalan minyak dalam negara juga kekal stabil dan mencukupi, sekali gus membuktikan langkah kerajaan dalam mengurus krisis tenaga adalah berkesan dan pragmatik.


"Di Malaysia, kita masih ada bekalan yang mencukupi. Rakyat boleh pergi ke stesen minyak dan dapatkan bekalan tanpa masalah. Jadi apa lagi yang mahu dikritik?" soal beliau.


Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bayan Baru itu menyifatkan tindakan pembangkang yang terus menyalahkan Perdana Menteri sebagai tidak bertanggungjawab dan bersifat populis semata-mata.


"Mereka tahu situasi sebenar, tetapi tetap memilih untuk menyerang. Ini bukan soal dasar, ini soal politiking," katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa sehingga kini, pembangkang gagal mengemukakan sebarang idea baharu atau pelan peralihan ekonomi yang jelas bagi membantu negara menghadapi cabaran global.


"Kita tidak dengar apa-apa cadangan konkrit daripada mereka. Tiada idea baharu, tiada penyelesaian. Yang ada hanyalah serangan di media sosial," ujarnya.


Selain itu, beliau turut membangkitkan isu konflik dalaman dalam PN termasuk melibatkan Pas yang menurutnya menjejaskan keupayaan gabungan itu untuk tampil sebagai alternatif yang stabil kepada kerajaan.


"Perikatan Nasional sendiri berdepan masalah dalaman, termasuk isu perancangan penggantian kepimpinan. Malah Pas juga dilihat tidak stabil dari segi kepimpinan dan hala tuju," jelas beliau.


Dalam perkembangan lain, Tze Tzin memaklumkan bahawa KEADILAN kini giat membuat persiapan menghadapi pilihanraya akan datang termasuk di Melaka dan Johor dengan menumpukan kepada pengukuhan parti serta strategi kerjasama.


Beliau menegaskan, segala strategi sedang dianalisa secara teliti bagi memastikan hasil terbaik, berbeza dengan pembangkang yang menurutnya masih gagal menunjukkan hala tuju yang jelas kepada rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page