
Bulan Ramadan merupakan bulan ibadah dan umat Islam berpeluang untuk meningkatkan keimanan serta memperbaiki diri pada sepanjang bulan ini.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, bulan Ramadan wajar menjadi tarbiah kepada umat Islam bagi membuang segala sifat keji, mungkar dan mengembalikan pemikiran serta tindakan ke arah kemuliaan.
"Keutamaan bulan Ramadan melebihi bulan-bulan lain sudah pun masyhur dalam thurath Islami. Memberhentikan sementara amalan lazim, atau semacam bentuk ‘pause’ untuk rutin yang dilaksanakan, sekali dalam setahun mampu mengolah citra keimanan dalam ketundukan menyeluruh kepada Yang Maha Pemberi.
"Tidak hairanlah, ibadat tertua ini dianggap seperempat daripada iman, dan balasannya yang berganda dijanjikan Allah SWT sebagai sebahagian daripada rahsia-Nya.
"Ibadah puasa adalah tradisi leluhur nubuwwah yang kita warisi dan menjadi sebahagian daripada fasa penting yang kita lalui di tengah kesibukan hidup kita saban tahun," katanya dalam perutusan, semalam.
Kata Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu, Ramadan juga merupakan pintu kepada amal kebaikan.
Tambah Amirudin, Ramadan kali ini amat bermakna kerana negara telah memasuki fasa endemik dan aktiviti yang dilakukan umat Islam yang terhenti sejak 2 tahun lalu kini bebas semula dilakukan semula seperti biasa.
"Sudah pasti ramai dalam kalangan kita merindui saat-saat menyambut Ramadan sebelum pandemik. Alhamdulillah sekarang ini kita berada dalam fasa endemik.
"Umat Islam dibenarkan kembali menunaikan solat terawih berjamaah dan mengimarahkan masjid dan surau. Tetapi suka saya berpesan agar kita tetap memakai pelitup muka, membawa sejadah sendiri, dan pastikan diri tidak bergejala sebelum berjemaah.
"Diharapkan umat Islam bukan sahaja dapat merapatkan saf di masjid dan surau, malahan menyatukan juga hati kita semua dalam kerahmatan, penuh ketenangan, jauh daripada pergolakan.
"Inilah intipati puasa, yakni bukan sekadar berlapar dahaga dan menjaga kemaluan, tetapi turut merangkumi penjagaan mata, tangan, kaki dan juga hati kerana kesemua anggota ini akan diminta kesaksiannya di Hari Akhirat kelak.
"Semoga amalan di bulan yang mulia ini diterima oleh-Nya, insya-Allah," katanya lagi.