Oleh: Abdullah Zaid
Dalam menyahut seruan kerajaan, wakil Angkatan Muda KEADILAN Perak Muhammad Taufiq Abdul Mutalib, menyeru golongan belia untuk terlibat sama mengisi misi meningkatkan bekalan makanan negara.
Katanya, isu keterjaminan makanan yang sering membelenggu negara itu wajar diselesaikan oleh semua pihak tanpa mengira status mahupun latar belakang.
"Bidang yang kita anggap ‘low class’, tiada kemodenan, tiada kemajuan tetapi kita harus sedar bidang ini yang sangat penting dan memberikan impak dalam setiap aspek kehidupan.
"Mana mungkin datangnya ayam goreng jika tiada penternak yang mengusahakan penternakan ayam? Mana mungkin datangnya biriyani jika tiada pesawah yang mengusahakan sawah padi?," soalnya.
Justeru, Taufiq menggesa agar kegiatan melibatkan pertanian negara diremajakan oleh semua pihak demi menjamin bekalan makanan negara pada masa hadapan.
"Perlunya kita lahirkan seberapa ramai mungkin petani moden, pesawah moden, nelayan moden dan perternak moden.
"Jadikan negara kita yang kaya dengan hasil ini sebagai satu lonjakan buat kita meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara
"Oleh itu, kita juga boleh bersama-sama memajukan sektor pertanian ini. Cukuplah kita menuding jari tetapi kita sendiri tidak mencari solusi," ujarnya dalam sesi perbahasan di Kongres Tahunan Angkatan Muda Keadilan Malaysia, petang ini.
Comments