Tingkatkan 100% padi tempatan mampu kawal manipulasi sindiket beras
- Suara Keadilan
- Sep 30, 2023
- 1 min read

Oleh: Abdullah Zaid
Peningkatan harga beras import menyebabkan pengguna beralih kepada bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran sehingga berlaku kekurangan stok dan meresahkan orang ramai.
Bagi Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, hal itu hanya boleh diatasi secara komprehensif melalui pelan jangka panjang meningkatkan tahap sara diri beras (SSL) negara bagi memenuhi permintaan tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada beras import yang semakin mahal harganya.
"Nasi adalah makanan ruji di negara ini dan sebab itu beras sangat penting. Kita menghasilkan beras hanya 65% dan bakinya diimport.
"Oleh sebab itu, kita sepatutnya menukar trend kebergantungan import dengan meletakkan sasaran jangka panjang bagi menghasilkan 100 peratus beras tempatan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Tambah mantan Timbalan Menteri Pertanian itu, langkah meningkatkan hasil padi tempatan itu juga adalah jawapan kepada seruan pembangkang agar kerajaan mengawal kartel beras.
Katanya, jika hasil padi meningkat maka sindiket ‘tukar baju’ atau menukar kampit beras tempatan kepada beras import bagi mendapatkan keuntungan berganda dapat diminimumkan.

"Sindiket ini (tukar kampit) wujud disebabkan perbezaan harga yang ketara bagi beras import dan tempatan. Jadi apabila kita boleh menghasilkan 100% pengeluaran (padi) tempatan ia boleh mengurangkan aktiviti ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN tersebut turut menyarankan kerajaan mengkaji semula harga siling bagi pengeluaran beras tempatan.
Hal ini katanya, harga semasa BPT perlu mengambil kira aspek kos operasi dan gaji buruh yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha dan pembekal padi.
Justeru, katanya usaha tersebut dapat meningkatkan produktiviti dan hasil padi.
"Masalah price control beras tempatan dilihat membebankan pengusaha untuk menampung kos buruh dan operasi sehingga sukar mendapatkan keuntungan.
"Jadi langkah-langkah jangka pendek perlu dibuat bagi agar aktiviti pertanian lebih produktif dan sihat," ujarnya lagi.
Comentarii