Tingkat budaya membaca, berhujah di media sosial tanpa ilmu menuju kebinasaan
- Suara Keadilan

- Nov 2
- 2 min read

Budaya membaca perlu diarusperdanakan dalam kalangan rakyat agar mereka tidak hanya mempercayai perkara picisan sehingga menghalang potensi menjadi masyarakat maju.
Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj (gambar) berkata, bangsa yang malas membaca akan menuju kehancuran, apabila semakin ramai gemar berdebat tanpa ilmu dan menilai isu hanya berdasarkan tajuk semata-mata.
Menurut beliau, budaya membaca di Malaysia kini berada di tahap amat membimbangkan, apabila segelintir masyarakat lebih selesa menjadi “pakar segera” di media sosial berbanding mencari pengetahuan sebenar melalui pembacaan.
"Semakin ramai orang lebih gemar menjadi pakar segera di media sosial, bercakap lantang tanpa ilmu, berhujah tanpa fakta, menuduh tanpa memahami dasar negara. Mereka membaca tajuk, bukan isi; menjerit emosi, bukan berfikir dengan rasional. Inilah bibit kehancuran bangsa," katanya dalam satu kenyataan.
Yuneswaran menegaskan, sejarah telah membuktikan bahawa kebangkitan sesuatu bangsa hanya berlaku apabila rakyatnya menentang kejahilan melalui ilmu pengetahuan, seperti yang berlaku di Itali pada zaman Renaissance.

"Leonardo da Vinci, Machiavelli, Galileo tidak lahir sebagai genius kerana populariti, tetapi kerana kecintaan kepada ilmu dan kajian. Mereka melawan kebodohan," ujarnya.
Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap fenomena “budaya anti-ilmu” yang semakin menular, di mana individu tanpa asas akademik atau kefahaman mendalam tentang ekonomi dan politik global bebas memberi pandangan dangkal yang mengelirukan masyarakat.
"Lebih buruk, wujud golongan ‘influencer’ yang kononnya menjadi rujukan rakyat, tetapi hakikatnya mereka menyebarkan kekeliruan semata-mata untuk meraih tontonan dan populariti murahan," katanya lagi.
Menurut beliau, masyarakat yang berhenti membaca akan berhenti berfikir dan akhirnya tunduk kepada pengaruh luar.
"Bangsa yang menolak ilmu sedang menempah kehancuran dengan tangan mereka sendiri," tegasnya.
Yuneswaran menjelaskan bahawa Malaysia bukan negara yang berasaskan kekuatan ketenteraan, tetapi pembina masa depan rakyat melalui ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan sosial.
Namun, katanya, sekiranya rakyat memilih untuk berhujah tanpa ilmu, negara berisiko menjadi mangsa percaturan kuasa besar dunia.
"Inilah sebabnya hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat dan China mesti diurus dengan strategi yang matang, bukan dengan emosi atau retorik murahan. Malaysia mesti kekal sebagai negara berkecuali aktif — bukan menjadi alat mana-mana kuasa besar," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kedaulatan negara adalah talian hayat yang mesti dipertahankan dengan ilmu dan kebijaksanaan, manakala diplomasi Malaysia perlu berpaksikan maruah, bukan mencari populariti di media sosial.
"Negara mesti sentiasa diutamakan — bukan ego individu, bukan populariti sementara," katanya.
Sehubungan itu, Yuneswaran menegaskan bahawa masa depan Malaysia bergantung kepada keilmuan rakyat, bukan kepada siapa yang paling lantang bersuara.
"Bangsa yang membaca adalah bangsa yang merdeka fikirannya. Bangsa yang malas membaca akan dijajah mindanya tanpa sebutir peluru pun ditembak. Masa depan negara ini tidak akan ditentukan oleh siapa yang paling bising di media sosial, tetapi oleh siapa yang paling berilmu, paling berfakta, dan paling memahami dasar negara," katanya.









Comments