Tinggalkan Waze: PM bertanggungjawab pelihara keselamatan data rakyat


Nasihat keselamatan yang dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengguna aplikasi Waze merupakan sebahagian daripada tanggungjawab seorang pemimpin untuk melindungi negara daripada ancaman luar, termasuk ancaman terhadap keselamatan data, kata Amidi Abdul Manan.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) KEADILAN itu berkata, tanggungjawab menjaga keselamatan negara juga adalah kewajipan seorang ketua negara, selaras dengan prinsip kepimpinan yang digariskan dalam Islam.
"Kita boleh melihat kepada satu kisah dalam al-Quran apabila ratu semut menyeru kepada semut-semut yang lain untuk masuk ke sarang bagi menyelamatkan diri daripada dipijak oleh tentera Nabi Sulaiman.
"Respons daripada Nabi Sulaiman cukup menarik iaitu baginda tersenyum dan gembira walaupun ada haiwan yang sekecil itu, tapi mahu melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Beliau diminta mengulas mengenai bantahan sesetengah pihak terhadap saranan PM Anwar agar aplikasi Waze tidak digunakan atas pertimbangan keselamatan kerana mempunyai kaitan dengan syarikat Israel.
Menurut Amidi lagi, ancaman keselamatan pada masa kini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk dan tidak terhad kepada ancaman fizikal semata-mata.
Oleh itu katanya, memang menjadi tugas seorang pemimpin untuk menjaga keselamatan negara, terutama data rakyatnya daripada ancaman luar.
"Dalam Islam sendiri, kalau kita tengok antaranya ialah berkaitan dengan maslahah atau kebaikan secara bersama.
"Jadi sekarang ini salah satunya (ialah) berkaitan data yang disebut dalam keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN).
"Kita tahu bahawa data sekarang ini merupakan salah satu daripada perkara yang boleh mengancam keselamatan.
"Saya rasa apa yang dibuat oleh PM Anwar adalah melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin yang digariskan oleh Islam seperti dinyatakan dalam al-Quran," ujarnya lagi.
Semalam, kerajaan menggalakan orang ramai menggunakan aplikasi tempatan iaitu TuJU, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi perjalanan.
PM Anwar berkata, langkah alternatif itu dicadangkan susulan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.




Comments