top of page

KUSKOP perkenal SCALE, bantu pertumbuhan PKS

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
52 minutes ago
1 min read
Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim. Gambar arkib
Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim. Gambar arkib

Pelan tindakan SCALE bertujuan menyokong dan memacu pertumbuhan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke tahap yang lebih mampan akan diperkenal bermula 2027.


Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) , Steven Sim berkata, SCALE merangkumi lima fokus strategik iaitu penakrifan semula PKS, perlindungan aliran tunai, pemerkasaan kecerdasan buatan (AI), penetapan keperluan kandungan tempatan dan pemudah cara akses pembiayaan.


Selain memacu pertumbuhan PKS, pelan tersebut juga jelasnya sebagai pelengkap kepada Strategi ABCD yang menumpukan kepada anjakan produktiviti, mempermudah birokrasi, serta meluaskan capaian modal dan akses pasaran.


"Penakrifan semula PKS wajar dilaksanakan memandangkan definisi semasa yang diguna pakai sejak 2013 perlu diselaraskan mengikut perubahan landskap perniagaan hari ini, khususnya dalam era ledakan teknologi digital dan AI.


"Kerangka strategik pada tahun 2026 adalah ABCD, kerana ia merupakan penyelesaian segera kepada titik kesukaran utama yang dihadapi iaitu isu produktiviti, akses modal, masalah pasaran, serta karenah birokrasi. Itulah strategi ABCD bagi menangani kesukaran mendesak tersebut," katanya dipetik laporan media.


Sim berkata begitu pada program SME CEO Forum 2026 di Kuala Lumpur semalam.


Dalam ucapannya, beliau turut menyeru warga PKS mengoptimumkan penggunaan AI dalam meningkatkan produktiviti operasi tanpa perlu bergantung semata-mata kepada pertambahan waktu bekerja.


Teknologi tersebut tegasnya mampu melonjakkan kapasiti operasi dan menghasilkan nilai yang lebih tinggi, sekali gus menyokong peralihan struktur ekonomi negara daripada model berteraskan kos kepada pertumbuhan dipacu nilai.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page