Belanjawan 2027: Reformasi percukaian perlu diperluas - Amirudin


Reformasi sistem percukaian perlu diperluas bagi meningkatkan hasil negara sekaligus memastikan kerajaan mempunyai sumber kewangan mencukupi untuk membiayai pembangunan serta menyalurkan bantuan kepada rakyat secara mampan.
Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah reformasi itu semakin penting memandangkan hasil kerajaan berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan menurun daripada 22.3 peratus pada 2009 kepada 16.4 peratus pada 2027.
Beliau menegaskan, meskipun ekonomi, pelaburan dan perdagangan semakin berkembang, pertumbunan tersebut perlu diterjemah kepada peningkatan kepada hasil kerajaan.
"Komitmen seperti subsidi, gaji, bayaran khidmat hutang, bayaran persaraan merangkumi 76.9 daripada perbelanjaan mengurus kerajaan. Maksudnya, bagi setiap RM100 hasil kerajaan persekutuan hampir RM80 perlu disediakan untuk komitmen gaji, upahan, hutang dan subsidi.
"Ini bermaksud perancangan dasar pengurusan negara hanya mempunyai 20 peratus ruangan untuk membentuk sebarang program perubahan ataupun transformasi yang ingin dilaksanakan," katanya dipetik laporan media.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata begitu ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2027 di Dewan Rakyat pada Rabu.
Pada perbahasan tersebut beliau turut mempersoalkan sama ada langkah sedia ada mencukupi untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dapat meningkatkan hasil kerajaan dan memberi manfaat kepada rakyat.
"Apakah semakan yang telah dilaksanakan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi dan nilai ekonomi dapat benar-benar mencipta nilai.
"Ini adalah satu persoalan fiskal yang serius yang harus difikirkan untuk menjamin apa yang dikatakan kelestarian hasil kepada negara dan itu akan dikembalikan dalam bentuk pembangunan mahupun dalam bentuk subsidi kepada rakyat," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 mengumumkan had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.
Lima juta pembayar cukai dijangka menerima lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600.




Comments