top of page

Solidariti untuk Ummi Umairah, jangan normalisasi rasuah atas kesetiaan politik

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
19 minutes ago
2 min read

Masyarakat tidak seharusnya menormalisasikan rasuah atas nama kesetiaan politik termasuk menerusi usaha mengumpul dana awam RM50 juta bagi membantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar denda mahkamah.


Ketua Komuniti MADANI Selayang Bukit Idaman, Tommy Tong Liang Wang berkata tindakan mengumpul dana bagi membantu pemimpin yang telah disabitkan kesalahan menimbulkan persoalan serius mengenai nilai moral masyarakat dan kefahaman terhadap prinsip keadilan.


Sehubungan itu, beliau mempertahankan pendirian mahasiswi Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit yang mengkritik usaha mengumpul dana berkenaan selain menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat dakwaan ancaman serta buli siber terhadapnya.

Tommy Tong Liang Wang
Tommy Tong Liang Wang

"Apabila rakyat sanggup mengumpulkan puluhan juta ringgit untuk membantu elit politik yang telah disabitkan kesalahan, kita perlu bertanya sama ada masyarakat semakin gagal membezakan antara yang benar dengan yang salah akibat kesetiaan politik yang melampau.


"Kita sedang menghantar mesej yang salah kepada masyarakat khususnya generasi muda, menormalisasikan salah guna kuasa dan melemahkan usaha membanteras rasuah," katanya dalam kenyataan.


Kontroversi itu tercetus selepas Ummi Umairah mengkritik tindakan orang ramai menderma bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta yang dikaitkan dengan perbincangan mengenai usaha membolehkan bekas pemimpin itu menjalani hukuman di bawah tahanan rumah.


Mahasiswi itu menyifatkan tindakan berkenaan sebagai antara perkara paling bodoh yang pernah dilihatnya sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.


Beliau membangkitkan perkara itu ketika mengemukakan soalan dalam satu sesi dialog anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi yang turut menampilkan bekas menteri, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.


Dalam sesi berkenaan, Ummi Umairah turut mempersoalkan bagaimana bakal pemimpin dapat dibentuk supaya berani menentang rasuah dan feudalisme serta membuat penilaian berdasarkan fakta dan data.


Kenyataannya kemudian tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan, termasuk dakwaan beliau menerima ugutan serta gangguan dalam talian.


Pada 19 Oktober lalu, beliau mempertahankan pendiriannya dan menegaskan tidak akan memohon maaf berhubung kenyataan itu.


Tommy berkata undang-undang berkaitan jenayah siber perlu dikuatkuasakan secara adil tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan politik pihak yang terbabit.


"Integriti tidak boleh dipilih mengikut siapa yang kita sokong. Keadilan tidak boleh diukur berdasarkan siapa yang kita kagumi. Jika kita benar-benar mahu membanteras rasuah, kita mesti berani mempertahankan prinsip yang sama untuk semua," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page