Tinggalkan Kerajaan: Apabila Keberanian Mengatasi Kebijaksanaan
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 3 min read

Oleh: Shahbudin Embun
ULASAN: UMNO hari ini bukan sahaja sedang berdepan dengan musuh di luar, tetapi yang lebih menyedihkan apabila ada yang lebih sibuk menikam dari dalam, kononnya atas nama keberanian dan perjuangan.
Jika ikutkan hati dan perasaan, penulis mahu sahaja terus membuat komen pada hari yang sama, apabila mendengar jeritan dan laungan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Akmal Salleh yang terus menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan agenda penyatuan ummah dan sekaligus mahukan UMNO tidak lagi bersama dengan Pakatan Harapan (PH) semasa konvensyen khas Pemuda UMNO yang diadakan baru-baru ini.
Pada mulanya juga penulis ingin mengambil pendekatan, biarlah keadaan reda sedikit sebelum membuat sebarang artikel , namun keadaan semasa memerlukan untuk kita terus membincangkan isu yang nampaknya terus dibincangkan dengan begitu meluas.
Pendirian Ketua Pemuda UMNO berisiko
Pendirian Akmal Salleh itu jelas mencerminkan pendirian yang berisiko tinggi dalam konteks realiti politik semasa. Sebenarnya isu ini (cadangan) pernah dan telah dilaksanakan satu ketika dahulu, namun apabila ia disertakan dengan syarat dan tuntutan supaya UMNO memutuskan kerjasama dengan Pakatan Harapan maka telah menimbulkan beberapa implikasi besar dan ternyata bercanggah dengan keputusan kepimpinan tertinggi UMNO.

Mungkin Akmal lupa seketika yang UMNO secara rasmi berada dalam Kerajaan Perpaduan hasil keputusan Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO. Kenyataan Akmal secara terbuka yang menolak PH memberi gambaran seolah-olah wujud pemberontakan dalaman dan melemahkan prinsip disiplin parti.
Akmal nampaknya seolah-olah menang sorak tetapi kampung tergadai. Apa yang diperjuangkan itu merupakan satu retorik yang popular namun adakah ini merupakan satu strategi yang bijak? Benar, masih ramai rakyat yang mudah dan suka dengan naratif “penyatuan Ummah”. Tidak dinafikan ini satu naratif yang boleh meraih sokongan emosi akar umbi, namun ia masih gagal menjawab beberapa persoalan yang boleh dikaitkan dengan naratif ini.
Persoalan pertama, adakah UMNO akan masih relevan dan dominan jika kembali sepenuhnya bergantung kepada PAS? Dan apakah jaminan UMNO tidak terus menjadi 'parti junior' seperti pengalaman lampau? Dan adakah benar apabila Akmal menyatakan keputusan dalam konvensyen ini sebenarnya mewakili sebahagian besar akar umbi UMNO?
Hubungan politik merugikan
Kesemua persoalan ini sebenarnya telah dijawab oleh pelbagai penganalisa politik yang secara keseluruhannya berpendapat yang UMNO akan rugi sekiranya menjalin hubungan politik dengan Pas.
Ketika ini juga ada yang mempertikaikan apakah peranan pemuda UMNO sebenarnya? Apakah yang dilakukan oleh sayap kanan UMNO ini yang sangat signifikan dalam membantu menaikkan semula nama UMNO? Penulis yakin mungkin banyak program yang telah diatur dan dilasanakan oleh Pemuda UMNO untuk memantap dan mempopularkan lagi UMNO khasnya dalam kalangan remaja hari ini. Dan sepatutnya inilah tugas dan tanggungjawab Pemuda UMNO yang perlu diperkasa dan terus diperkuatkan.
Dalam hal ini, Pemuda UMNO sepatutnya menjadi jambatan, bukan pencetus kepada perpecahan. Sebagai Ketua Pemuda, peranan Dr Akmal seharusnya mempersiapkan UMNO untuk masa depan dan terus membina pengaruh, memulihkan keyakinan orang muda, dan mengukuhkan parti dari dalam dan bukannya mempercepatkan perpecahan melalui kenyataan yang mengundang kontroversi dan konfrontasi di kalangan rakan-rakan yang membentuk Kerajaan Perpaduan hari ini.
Pendirian Dr Akmal ini mungkin menang sorak dalam kalangan kelompok tertentu, tetapi jika tidak disandarkan kepada strategi politik yang matang dan realistik, ia berisiko menjadikan UMNO sekali lagi terasing daripada kuasa dan gagal memulihkan kepercayaan rakyat. Dalam politik, keberanian tanpa kebijaksanaan sering membawa kerugian yang lebih besar daripada keuntungan.
Dalam keadaan ini, sesiapa yang menggoncang kestabilan parti sebenarnya sedang menggali kubur UMNO dengan tangannya sendiri.
Wira sebenar bertindak menyelamatkan parti
Tidak salah jika Akmal mahu dilihat sebagai hero atau jaguh yang memperjuangan UMNO, namun Akmal perlu ingat bahawa wira sebenar ialah pemimpin yang menyelamatkan parti, dan bukan membakar rumah sendiri dan menuding jari kepada orang lain apabila api sedang marak. Sorakan di media sosial tidak akan mengembalikan kerusi Parlimen dan laungan serta jeritan di pentas tidak akan membeli kepercayaan rakyat sekiranya apa yang dijeritkan itu lebih membawa kepada perpecahan.
Sebagai Ketua Pemuda, Akmal boleh mengkritik namun serangan terbuka terhadap kepimpinan parti sendiri tidak akan membawa kekuatan, sebaliknya boleh menambahkan keretakan. Perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam politik, tetapi cara ia disuarakan mencerminkan kematangan dan kebijaksanaan seseorang pemimpin. Akmal perlu ingat bahawa teguran yang dibuat mestilah membina, kritikan pula mesti berstrategi, dan perjuangan mesti meletakkan parti mengatasi ego peribadi. Jangan beri peluang kepada musuh kita untuk mengambil peluang.
Hakikatnya, UMNO sedang berada dalam fasa paling mencabar dalam sejarahnya. Dalam keadaan begini, setiap kata yang diluahkan dan setiap langkah dan tindakan pemimpin boleh membawa kesan besar, sama ada menguatkan parti atau melemahkannya.
Dalam hal ini, Akmal perlu mengambil teladan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sentiasa tenang dan terus berusaha kuat memimpin semula UMNO ke arah zaman kegemilangan parti keramat Melayu ini. Presiden UMNO yang baru sahaja menyambut ulang tahun baru-baru ini, terus mencerminkan kematangan dan kebijaksanaan beliau dalam mengemudi UMNO demi memastikan UMNO akan terus relevan dan mendapat tempat di kalangan rakyat Malaysia.
Penulis merupakan penganalisis politik merangkap Ketua Penerangan UMNO Cawangan Titi Beratap, Bahagian Arau, Perlis





