top of page

Tindakan tegas JPJ banteras aktiviti van haram di Langkawi dihargai - GTSM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 1
  • 1 min read


Oleh: Azuan Ab Rahman


Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terutama kepada Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa Datuk Mohamad Kifli Ma Hasan susulan operasi membanteras perkhidmatan van haram di Langkawi.


Presiden GTSM, Kamarudin Hussain (gambar) menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan Mohamad Kifli yang memberi perhatian serius terhadap kebimbangan dibangkitkan pengusaha teksi dan van pelancong berlesen di pulau peranginan itu sebelum ini.


"Aktiviti van haram bukan sahaja menjejaskan pendapatan sah pengusaha berlesen dan mendedahkan penumpang kepada risiko keselamatan yang serius. Sekiranya berlaku kemalangan melibatkan kenderaan tidak berlesen dan tanpa perlindungan insurans sah, implikasinya bukan sahaja kepada mangsa tetapi turut mencalarkan kredibiliti agensi penguat kuasa dan kerajaan


"Setinggi-tinggi penghargaan atas tindakan proaktif menggerakkan pasukan penguat kuasa dari luar Langkawi bagi operasi membanteras perkhidmatan van haram pada 31 Januari 2026," katanya dalam satu kenyataan.


Kamarudin turut menggesa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) agar memberi perhatian serius terhadap kemungkinan wujudnya syarikat pelancongan yang menggunakan perkhidmatan van haram bagi mengurangkan kos operasi.


Tegasnya, sekiranya perkara itu terbukti, tindakan tegas termasuk pembatalan lesen agensi pelancongan wajar diambil kerana bersubahat menggunakan perkhidmatan tidak sah.


"Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia perlu diselamatkan daripada kegiatan yang merosakkan integriti pasukan penguatkuasaan serta menjejaskan ekonomi negara.


"Selari dengan semangat Kerajaan MADANI, GTSM menyeru agar semua agensi penguat kuasa bertindak lebih aktif, telus dan berani tanpa sebarang kompromi terhadap kegiatan haram yang menindas pemain industri sah," katanya dalam kenyataan sama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page