Tindakan tegas elak penjenah seksual berlindung di balik rumah kebajikan
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat menggesa tindakan drastik diambil susulan pendedahan kes jenayah seksual melibatkan kanak-kanak di sebuah rumah kebajikan tidak berdaftar di Batu Caves, Selangor.
Exconya, Gopiraj Nair (gambar), berkata operasi premis haram yang didakwa berlangsung selama sedekad itu mencerminkan kelemahan serius aktiviti pemantauan oleh agensi terbabit.
"Operasi haram selama sedekad ini adalah bukti kegagalan sistemik yang tidak boleh dimaafkan," katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, AMK mengemukakan empat tuntutan utama bagi memastikan keselamatan kanak-kanak terus terjamin.
Antaranya, menuntut audit dan pemutihan dilaksanakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), termasuk tindakan penutupan segera terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi Akta Pusat Jagaan 1993.
Selain itu, Gopiraj Nair yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Bukit Bintang turut menggesa pelaksanaan saringan mandatori penjaga, yang mana latar belakang penjaga pusat jagaan mesti diteliti dengan ketat bagi memastikan individu berisiko tidak dibenarkan berkhidmat.
"Individu dengan rekod jenayah kekerasan, seksual, atau narkotik tidak boleh dibenarkan bertugas demi prinsip keselamatan sifar risiko (Zero Risk)," katanya.
Dalam masa sama, beliau menekankan keperluan menyediakan sokongan pemulihan trauma secara menyeluruh kepada mangsa, termasuk bantuan psikologi jangka panjang percuma.
Gopiraj juga mencadangkan mekanisme perlindungan pemberi maklumat diwujudkan bagi membolehkan orang awam dan kakitangan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan tanpa rasa takut.
Menurut kenyataan itu, AMK akan terus memantau perkembangan kes berkenaan sehingga keadilan dapat ditegakkan sepenuhnya.
"Kita tidak boleh membiarkan kelalaian (orang) dewasa menghancurkan masa depan kanak-kanak," katanya.
Untuk rekod, pada 9 April lalu seorang penjaga di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Gombak, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas 15 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal serta persetubuhan luar tabii terhadap lima kanak-kanak lelaki.
Menurut laporan media, tertuduh Retna Velu, 25, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norshila Kamarudin dan Hakim Ho Kwong Chin.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah pusat jagaan antara hujung November 2025 dan 27 Mac tahun ini.




Comments