Kerajaan guna semua instrumen siasat dakwaan 'mafia korporat'
- Suara Keadilan

- 7 hours ago
- 1 min read

Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan berkaitan dakwaan manipulasi korporat secara terperinci merangkumi elemen jenayah dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata, perjalanan kes tersebut ketika ini lancar dan beliau diberikan taklimat dari semasa ke semasa oleh pihak polis berkaitan perkembangan siasatan.
Malah tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga akan menggunakan semua instrumen perundangan termasuk mengekstradisi mana-mana individu yang terlibat dalam dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ bagi membantu siasatan.
"Kalau berada di luar negara dan ada keperluan untuk mereka itu kita ambil kenyataan bagi membantu melengkapkan siasatan, semua proses untuk membolehkan kita membawa pulang mereka, kita akan gunakan.
"Sebab dalam proses polis membuat kerja, kita ada pelbagai kaedah dan cara. Apa yang paling penting adalah polis telah pun memulakan siasatan kes berkenaan," katanya dipetik.
Terdahulu, beliau mengadakan mengadakan lawatan dan pemantauan operasi kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu, Perak.
Ketua Pasukan Siasatan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Fazlisyam Abdul Majid pada 1 April lalu berkata, seramai 41 individu dipanggil bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.
Mereka yang dipanggil termasuk ahli perniagaan Victor Chin yang kini didakwa berada di luar negara.




Comments