Tindakan segera rancang sekuriti makanan atau hadapi masalah bekalan



Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) harus segera merancang mengatasi masalah rantaian bekalan hasil pertanian yang sukar dipasarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.


Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, masalah itu sekiranya tidak ditangani segera akan menyebabkan petani kerugian dan seterusnya kekurangan modal mereka untuk musim penanaman baharu.


"Saya mengambil maklum tentang situasi yang mendesak sebagaimana dihadapi pekebun - pekebun strawberi di Cameron Highlands dan berasa kesal dengan kegagalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee membantu nasib para pekebun dalam masa yang sukar ini.


"Dengan jelasnya, Menteri dan dua Timbalan Menteri MAFI tidak mengambil iktibar dari pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu yang telah memberi kesan buruk kepada rantaian bekalan makanan, terutamanya pengeluaran pertanian dari Cameron Highlands.


"Walaupun sudah selama satu tahun kita memerangi wabak Covid-19, menteri – menteri kita masih lagi tidak mempunyai penyelesaian yang berkesan terhadap gangguan rantaian bekalan yang dihadapi oleh semua pihak semasa pelaksanaan PKP.


"Pekebun dan petani yang mengalami kerugian besar musim ini akan menghadapi kesukaran pada musim akan datang bagi mengekalkan jumlah pengeluaran yang konsisten. Akibatnya, kemungkinan pekebun akan mengurangkan pengeluaran pertanian dan sekuriti makanan dalam negara akan terjejas," katanya.


Ker Chean merujuk laporan media NST bertajuk “MCO: Cameron Highlands’ Strawberry Farmers Grapple with Catastrophic” bertarikh 6 Februari lalu.


Dalam laporan itu, Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur-sayuran Cameron Highlands berkata para pekebun strawberi sedang mengalami kerugian yang besar disebabkan oleh pelaksanaan PKP yang menurutnya perlu diselesaikan segera.


Menurut Ker Chean lagi, jika rantaian bekalan hasil pertanian tidak diselesaikan maka Malaysia akan tergolong dalam negara yang mungkin berlaku kekurangan bekalan makanan susulan wabak Covid 19, sebagaimana dibimbangi oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) baru-baru ini.


"Oleh itu, saya menggesa agar menteri membantu pengurusan logistik khususnya Sistem Rantai Dingin (Cold Chain System) melalui agensi kerajaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) untuk menguruskan stok makanan yang menghadapi masalah logistik sewaktu pelaksanaan PKP.


"Saya juga berharap agar menteri telah bersiap sedia dengan rancangan dan langkah – langkah pencegahan bagi menangani cabaran krisis kekurangan makanan dunia susulan wabak Covid-19 yang telah diramalkan oleh Pertubuhan Makanan Dan Pertanian (FAO) sejak April, 2020," katanya lagi.





0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio