
Tindakan PM mengislamkan saudara baru sesuai sifat seorang pemimpin Islam, kata Nik Omar Nik Aziz.
Anak bekas mursyidul am Pas itu berkata demikian sebagai mengulas kritikan segelintir pihak yang mempertikai tindakan Anwar secara terbuka mengislamkan seorang pemuda di Masjid India Klang, baru-baru ini.
"Satu amalan terpuji, mereka yang terlibat sehingga seseorang hamba Allah SWT mendapat hidayah-Nya amat besar ganjarannya di sisi Allah SWT.
"Yang penting tiada unsur paksaan, keinginan itu lahir dari setiap individu yang ingin kembali kepada fitrahnya.
"Sesuai dengan sifat Islam, sistem hidup ciptaan pencipta manusia," katanya dipetik.
Justeru tambah Nik Omar, perbuatan terpuji itu tidak perlu dipolemikkan apatah lagi pengislaman itu berlaku tanpa paksaan.
Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Klang, Hushim Salleh, tampil memberi penjelasan berhubung tindakan perdana menteri yang mengislamkan seorang pemuda India di Masjid Jamek Ar-Rahimiah, Klang, baru-baru ini.
Menurutnya, perkara itu berlaku bukan dengan perancangan sebaliknya secara spontan apabila Anwar menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan selepas menziarahi waris mangsa tragedi kapal terbang terhempas di Hospital Tengku Ampuan Rahimah.
Selain Nik Omar, bekas Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin turut mempertahan tindakan Anwar.
Khairy dalam satu rancangan podcast yang disiarkan di Youtube berkata, kedudukan Anwar sebagai seorang Perdana Menteri tidak menghalang beliau daripada menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.
"Datuk Seri Anwar ialah seorang Perdana Menteri but that does not stop him from being a Muslim.
"Mana-mana Muslim, mana-mana orang Islam boleh mengislamkan saudara baharu. Boleh mendengar, membantu mereka mengucapkan dua kalimah syahadah," katanya.
Khairy turut berkata, perkara itu telah dirujuk kepada mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung isu tersebut.
Saya rujuk kepada Dr Zulkifli Al Bakri (mantan Mufti Wilayah Persekutuan), saya call dia. Saya tanya dia, saya tanya boleh ke seorang Muslim mengislamkan orang lain. Dia kata boleh," tambah Khairy.