top of page

Tindakan menghina agama merbahaya dalam negara majmuk - Arthur Chiong

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 3h
  • 2 min read

Malaysia tidak boleh sesekali membiarkan ekstremisme berasaskan agama atau kaum merampas masa depan generasi muda, sebaliknya kekuatan negara hanya dapat dipertahankan melalui semangat saling menghormati antara satu sama lain.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern berkata, sebagai seorang wakil rakyat, beliau berdiri teguh mempertahankan keharmonian, menghormati Perlembagaan, dan memastikan negeri serta negara terus stabil.


"Dalam suasana politik yang semakin hangat menjelang pilihan raya negeri, rakyat sedang memerhati bukan siapa paling lantang, tetapi siapa paling bertanggungjawab.

Arthur Chiong Sen Sern
Arthur Chiong Sen Sern

"Saya memandang serius dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan seorang pelajar yang didakwa memijak al-Quran, satu perbuatan yang jelas melukai hati umat Islam serta menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara kita.


"Malaysia dibina atas asas saling menghormati. Apa jua perbezaan pegangan, kita tidak boleh sesekali membenarkan tindakan yang menghina agama mana-mana pihak.


"Kebebasan bersuara bukan lesen untuk mencetuskan provokasi, kebencian atau penghinaan," tegas beliau dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu beliau menggesa pihak berkuasa agar menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus tanpa kompromi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menghina agama.


Pada masa sama, Arthur yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kulai turut menggesa supaya tindakan diambil terhadap pihak-pihak yang cuba mengeksploitasi isu tersebut dengan kenyataan berunsur perkauman atau hasutan.


"Undang-undang mesti ditegakkan secara adil tanpa memilih kaum dan agama dan juga tanpa tunduk kepada tekanan politik.


"Saya juga ingin mengingatkan bahawa isu ini tidak boleh dijadikan bahan untuk meniup api perkauman atau kebencian terhadap mana-mana kaum.


"Tindakan melampau balas dengan retorik kebencian hanya akan memburukkan keadaan dan memecah-belahkan masyarakat," tegas beliau lagi.


Pada 25 Februari lalu, seorang penuntut institut pengajian tinggi (IPT) di Pahang ditahan polis bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.


Terdahulu, tular gambar kaki lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu berkenaan yang berlegar-legar di media sosial.


Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, berkata tempoh reman lelaki berusia 21 tahun yang tamat pada 28 Februari lalu, disambung hingga hari ini selepas menerima arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya supaya beberapa tindakan lagi diambil untuk melengkapkan siasatan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page