Tindakan kibar bendera Israel lampaui batas syarak - Mufti Wilayah
- Suara Keadilan

- Oct 17
- 1 min read

Tindakan mengibarkan bendera Israel secara terbuka adalah perbuatan yang dilarang kerana boleh membawa maksud pengiktirafan terhadap kezaliman rejim Zionis.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan, perbuatan itu bukan sahaja menyinggung sensitiviti umat Islam, malah bercanggah dengan dasar luar Malaysia yang menolak sebarang bentuk hubungan diplomatik dengan Israel.
"Lazimnya perbuatan mengibarkan bendera secara terbuka dikaitkan dengan suatu bentuk pengiktirafan, penghormatan serta kecintaan terhadap entiti yang diwakili bendera itu dan dalam konteks hubungan antarabangsa, sering kali ditafsirkan sebagai isyarat persahabatan, persetujuan atau pengakuan terhadap legitimasi entiti tersebut.
"Oleh itu, umat Islam sewajarnya lebih berhati-hati dan berwaspada dalam perkara yang boleh membawa kepada salah faham atau fitnah terhadap agama Islam dan perjuangan rakyat Palestin," katanya dalam Tinta Mufti Bil. 30/2025 yang dimuat naik pada Khamis.
Beliau berkata demikian susulan kontroversi program ‘500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza’ di Kota Bharu baru-baru ini yang memaparkan pengibaran bendera Israel, kononnya sebagai lakonan semula insiden penahanan sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF).
Ahmad Fauwaz sementara itu menegaskan pendirian Malaysia yang tidak mengiktiraf Israel sebagai negara berdaulat sejajar dengan pendirian Malaysia yang menyokong penuh perjuangan rakyat Palestin dalam menuntut hak kemerdekaan mereka.









Comments