top of page

Tindakan Israel culik, lepas tembakan ke atas misi Global Sumud Flotilla 2.0 dikecam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 22
  • 1 min read
Serbuan tentera Israel ke atas anak kapal dan melepaskan tembakan menjadi detik cemas kepada sukarelawan
Serbuan tentera Israel ke atas anak kapal dan melepaskan tembakan menjadi detik cemas kepada sukarelawan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel yang memintas misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) dan menahan lebih 100 aktivis termasuk rakyat Malaysia di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus.


Beliau berkata, tindakan terhadap misi bantuan kemanusiaan itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa selain mencerminkan “kebiadaban rejim Zionis” terhadap usaha membantu rakyat Gaza.


"Tindakan zalim terhadap misi bantuan kemanusiaan ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan mencerminkan kebiadaban rejim Zionis terhadap usaha membantu rakyat Gaza yang terus ditindas," katanya dalam satu kenyataan.


Dr Zulkifli Hasan
Dr Zulkifli Hasan

Menurut beliau, kementeriannya menyokong pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia berhubung insiden tersebut.


"Kami menyeru seluruh rakyat agar terus mendoakan keselamatan semua aktivis yang ditahan serta kemenangan buat rakyat Palestin," katanya.


Beliau berkata, empat peserta Malaysia terakhir yang berada di kapal-kapal GSF 2.0 disahkan telah “diculik” rejim Zionis menurut Global Sumud Flotilla Tracker.


Katanya, ia menjadikan keseluruhan 29 peserta Malaysia kini ditahan dan difahamkan semua aktivis terbabit akan dibawa ke Pelabuhan Ashdod di Israel.


Dalam pada itu, beliau mendakwa tentera Israel turut melepaskan tembakan ketika serbuan ke atas salah sebuah kapal Global Sumud Flotilla iaitu Girolama.


"Bunyi tembakan turut kedengaran dalam rakaman kamera litar tertutup selain peserta juga dilihat panik dalam situasi itu," katanya.


Dr Zulkifli juga menyeru rakyat Malaysia untuk terus memperkukuh solidariti dan menyebarkan kesedaran mengenai penderitaan rakyat Palestin.


"Bila kita berhenti berusaha, rejim akan anggap kita sudah iktiraf mereka," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page