top of page

Tindakan AS halang delegasi Palestin hadiri Perhimpunan Agung PBB dikecam

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 31
  • 2 min read

ree

Parti Amanah Negara (AMANAH) mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menolak permohonan visa Presiden Mahmoud Abbas dan delegasi Pihak Berkuasa Palestin (PA) untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Oktober ini.


Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin Shah (gambar), menyifatkan keputusan itu sebagai “tindakan kejam dan hipokrit” yang sekali lagi membuktikan AS menyalahgunakan kedudukannya sebagai tuan rumah PBB.


"Tindakan ini bertentangan dengan perjanjian lama bahawa sebagai tuan rumah PBB di New York, AS tidak sepatutnya menolak visa kepada pegawai-pegawai yang menghadiri badan dunia Perhimpunan Agung PBB


"Keputusan mengejut untuk menghalang visa PA ke AS ini merupakan pendirian hipokrit yang nyata untuk menafikan usaha 'penyelesaian dua negara' (Palestin-Israel) yang dicadangkan oleh sebahagian besar ahli PBB," katanya dalam satu kenyataan.


Raja Bahrin turut menegaskan, tindakan AS memperlihatkan kecenderungan negara itu untuk memperlakukan PBB sebagai alat bagi kepentingan dirinya sendiri.


"Perkara ini sekali lagi menimbulkan persoalan saya sebelum ini tentang kesesuaian lokasi PBB yang terletak di New York, kerana AS terlalu kerap menggunakan kuasa veto terhadap Resolusi PBB serta mengeluarkan pelbagai ancaman terhadap perkara yang tidak memihak kepentingannya, begitu juga dengan kepentingan sekutunya Israel


"Sudah tiba masanya ibu pejabat PBB dipindahkan ke sebuah negara yang lebih neutral dengan semangat berkecuali dan keadilan yang lebih baik dalam menghadapi genosid dan pembunuhan berterusan akibat kebuluran terhadap rakyat Palestin," tegasnya.


Mengaitkan isu itu dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia, beliau menyeru rakyat dan kerajaan Malaysia menggunakan segala pengaruh untuk memastikan Palestin tetap diwakili di Perhimpunan Agung PBB.


"Ketika Malaysia menyambut Hari Merdeka pada 31 Ogos, adalah penting kita menggunakan segala kuasa dan pengaruh untuk memastikan rakyat Palestin diwakili di Perhimpunan Agung PBB pada bulan Oktober, di mana lebih banyak negara Barat utama berhasrat mengiktiraf penubuhan negara Palestin dan haknya untuk wujud. Kita tidak boleh membiarkan AS menggagalkan usaha mulia yang tertangguh lama ini," katanya.


Raja Bahrin turut menggesa rakyat Malaysia turun menyatakan bantahan terhadap pendirian AS sempena lawatan Presiden Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, Oktober nanti.


Beliau menambah, mesyuarat Kesatuan Eropah (EU) di Copenhagen semalam telah membincangkan sekatan terhadap Israel amat wajar dijadikan contoh untuk Malaysia dan ASEAN bertindak serupa.


"Malaysia dan ASEAN juga wajar melakukan perkara yang sama sebelum lawatan Trump pada bulan Oktober," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page