top of page

Tindakan ADUN N Sembilan tarik sokongan tidak matang, tidak capai matlamat

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • 6 days ago
  • 2 min read

Tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Menteri Besar jelas merupakan satu tindakan khilaf kerana hal itu tiada penyudahnya.


Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) berkata, jika beliau berada di tempat ADUN-ADUN berkenaan, urusan tersebut perlu diperhalusi berdasarkan saluran undang-undang sebelum sebarang tindakan dibuat.


"Kalau saya berada di tempat 13 ADUN itu, saya akan pastikan setiap tindakan yang saya ambil itu ada kesudahannya. Malangnya kalau kita lihat, menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri itu ada tak kesudahannya?


"Bila kita tarik sokongan terhadap seseorang Menteri Besar, maknanya kita nak tukar. Malangnya Menteri Besar itu kalau kita nak tukar, bermakna kita kena menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir.


"(Ia untuk) memaklumkan keputusan 13 orang (daripada) wakil rakyat BN atau kita melakukannya dalam sidang DUN.


"Kalau salah satu daripada dua (cara) itu berlaku, maka hasrat 13 wakil rakyat daripada BN itu telah disampaikan secara sah dari sudut undang-undang," katanya dalam satu siaran video.


Mengulas lanjut, Lokman berkata, walaupun lima ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) bersama 13 ADUN BN menyatakan sokongan kepada Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias untuk menjadi Menteri Besar, pelantikan tersebut tidak berlaku secara automatik.


Jelas beliau, Tunku Muhriz masih lagi boleh meminta nama lain untuk calon Menteri Besar dan tidak semestinya dari UMNO sekiranya baginda mahu melakukan pertukaran.


Bagi Lokman, mujurlah tindakan 14 ADUN berkenaan tidak menyebabkan hubungan Pakatan Harapan dan BN bergolak di peringkat Persekutuan dengan beberapa ADUN PN cuba memberi sokongan untuk membentuk kerajaan 'tebuk atap'.


Katanya, solusi masih boleh dicapai apabila ketua ketua parti berunding serta merungkai masalah politik tersebut.


"Nasib kita (UMNO) baik, kerana akhirnya yang akan membuat keputusan ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang lain seperti Datuk Seri Anwar, Anthony Loke, dan Datuk Seri Mohamad Sabu.


"Ahamdulillah sehingga hari ini BN kekal dalam Kerajaan Perpaduan baik di peringkat pusat atau negeri. Ini merupakan keputusan yang diambil oleh Biro Politik UMNO.


"Ahmad Zahid juga jelas, kata krisis ini akan diselesaikan mengikut saluran undang-undang, bukan main langgar.


"Kita tak nak buat kerja 'tebuk atap'. Ini beza politik matang dan politik terdesak," ujar Lokman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page