
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan bahawa Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut bersetuju bahawa usul undi percaya seharusnya menjadi agenda pertama di Parlimen.
Beliau berkata, Pakatan Harapan (PH) enggan mengadakan kerjasama dengan kerajaan berbentuk CSA kerana menganggap ia akan membawa maksud bahawa pembangkang mengabsahkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan kerajaan baharu.
"Namanya sekarang MoU, bukan lagi bentuk asal seperti dihebahkan kerana ada keliru yang mengatakan CSA kerana dalam sistem Westminster, CSA itu ialah usaha mengabsahkan dan memberi jaminan, konfiden kepada kerajaan sedia ada dan menyokong Belanjawan 2022.
"Ini tidak berlaku dalam persefahaman ini kerana dalam usul yang dibawa bekas Perdana Menteri, itu mengandaikan kita menyokong kerajaan. Tetapi dalam dokumen ini, kita tidak ada pengakuan untuk menyokong kalau ada usul undi percaya.
"Sebab kita usulkan dari awal secara terbuka dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, dengan ketua-ketua 8 parti, sebahagian kami hadir termasuk komponen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Warisan dan Pejuang ialah penegasan adanya undi percaya dan Timbalan Agong menyebut juga ia harus menjadi tajuk pertama sebelum Parlimen diadakan dan kita semua setuju, tidak ada yang membantah," katanya ketika sesi Parlimen hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan pandangan Peguam Negara dan bekas Ketua Hakim Negara berhubung keperluan untuk mengadakan usul undi percaya.
"Saya rasa dia mungkin faham undang-undang tetapi tidak ada fakta. Faktanya, kalau saya usulkan hari ini tidak akan dikemukakan kerana urusan kerajaan didahulukan, kalau itu mantan ketua hakim pun tak faham, macam mana nak jadi hakim yang adil dalam negara ini.
"Tetapi kita tidak mahu isu itu yang terkait keabsahan kerana ia akan membatalkan usaha kerjasama dalam bidang-bidang utama termasuk Covid-19 dan ekonomi. sebab itu saya sebut kepada Perdana Menteri, walaupun kita tidak setuju untuk tidak teruskan undi percaya, kita tetap akan berikan kerjasama berbincang soal MoU," katanya.