Oleh: Akmal Manaf
Demi memberi keceriaan kepada masyarakat India menjelang Deepavali tidak lama lagi, sumbangan berupa kotak bakul makanan telah diagihkan kepada komuniti India di Wilayah Persekutuan.
Menurut kenyataan, sumbangan berkenaan diperuntukkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri R Ramanan.
Kata kenyataan itu, sumbangan tersebut diberikan kepada keluarga yang kurang bernasib baik melalui ketua-ketua komuniti yang terpilih.
"Sumbangan yang hampir sama daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga diagihkan kepada ketua-ketua cabang KEADILAN seluruh Wilayah Persekutuan untuk disampaikan kepada ahli-ahli parti setempat.
"Inisiatif itu adalah membantu meringankan beban dan membawa keceriaan kepada mereka yang menyambut Deepavali tidak lama lagi.
"Majlis yang disempurnakan oleh Setiausaha Politik Datuk Seri R Ramanan iaitu Datuk Anbumani Balan, di Laman Tun Razak itu adalah usaha yang dijalankan bagi memastikan tiada golonga terpinggir terutamanya mereka yang memerlukan bantuan," maklum kenyataan itu.
Pengelola program, Jonathan Vela yang juga pegawai khas kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin telah mengaturkan pengagihan kepada ketua-ketua komuniti daripada seluruh Wilayah Persekutuan.
"Semoga penerima dapat merasai nikmat perayaan oleh kerajaan Malaysia MADANI.
"Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri R Ramanan atas sumbangan ini," katanya.
Ramanan telah memperuntukkan bakul Deepavali kepada seramai 700 penerima, manakala sumbangan Bakul Ihsan Deepavali daripada Anwar pula berjumlah 600 kotak.
Turut hadir, Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju, Lai Chen Heng.
Chen Heng menyifatkan sumbangan itu melambangkan keprihatinan Anwar kepada masyarakat India yang telah sebati dalam masyarakat majmuk Malaysia.
"Presiden parti (PMX) mengajar kita semua serumpun dan sekeluarga tanpa mengira kaum.
"Sifat mulia ini wajar kita semaikan dalam menyantuni masyarakat India sempena pesta cahaya. Terima kasih atas sumbangan berkenaan," ujarnya.
Comments