
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menitipkan pesanan kepada timbalan-timbalan menteri bahawa mereka bukan sahaja mempunyai tugas penting menyampaikan mesej kerajaan, tetapi berperanan dalam menggubal dasar kerajaan.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Chin Tong sebalik selesai Pemukiman Timbalan-Timbalan Menteri di Seri Perdana, Putrajaya petang Sabtu.
"Antara lain beliau menyatakan betapa pentingnya tugas Timbalan-timbalan Menteri menyampaikan mesej serta keutamaan kerajaan kepada rakyat dan peranan mereka dalam menggubal dasar-dasar kerajaan.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tuan rumah telah berdialog santai dengan kami bagi membincangkan usaha menyelaraskan idea, mengukuhkan silaturahim serta membantu pentadbiran kerajaan perpaduan dengan lebih baik dan cekap," katanya melalui satu hantaran di Facebooknya.
Tambah Chin Tong, perbincangan yang diadakan sangat penting bagi membantu pihak pentadbiran untuk memahami falsafah dan idea-idea di sebalik keputusan-keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri dan kerajaan perpaduan.

Ia bagi memastikan falsafah dan idea itu dapat diperjelaskan kepada umum dengan lebih berkesan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata permukiman bersama Timbalan Menteri di Seri Perdana, Putrajaya itu merupakan sesi dialog membina melibatkan pelbagai perkara.
"Sesi-sesi dialog perbincangan meliputi pelbagai aspek pentadbiran, pencapaian KPI, Belanjawan 2023, kewangan dan integriti," katanya dalam catatan di Facebook.