top of page

Tilawah, hafazan al-Quran Antarabangsa: PM tekankan bina generasi al-Quran

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
9 hours ago
2 min read
Dr Zulkifli (berbaju warna krim) berjalan bersama PM Anwar pada majlis perasmian MTHQA, semalam
Dr Zulkifli (berbaju warna krim) berjalan bersama PM Anwar pada majlis perasmian MTHQA, semalam

Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-66 bagi tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi dibuka secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, seramai 50 peserta dari 38 negara berjaya melangkah ke peringkat akhir MTHQA ke-66 selepas melalui proses saringan dan ujian yang disertai 266 peserta dari 133 negara.


Menurut Zulkifli, antara perkara yang menarik perhatian beliau dalam majlis perasmian semalam ialah kandungan ucapan perasmian PM yang mengimbau persoalan dikemukakan Syekh Muhammad Basyuni Imran, ulama Kesultanan Sambas di Kalimantan Barat, melalui sepucuk surat pada 1929 kepada Sayyid Muhammad Rasyid Rida, pengelola majalah reformasi Islam terkenal, Al-Manar di Kaherah, Mesir.


Katanya, persoalan itu kemudiannya dijawab Amir Shakib Arsalan menerusi karya monumentalnya pada 1930 berjudul Li-madha ta’akhkhara al-Muslimun wa-li-madha taqaddama ghairuhum yang bermaksud 'Mengapakah umat Islam mundur dan umat lain maju?'


"Amir Shakib Arsalan adalah seorang penulis, penyajak dan sejarawan berasal dari Lubnan. Beliau menghuraikan bahawa kemunduran umat Islam dikaitkan dengan kelemahan penguasaan ilmu, kelunturan akhlak serta hilangnya keberanian dan kesungguhan," katanya dalam muat naik di media sosial.


Zulkifli berkata, Anwar turut menekankan kepentingan membina generasi al-Quran yang hatinya berpaut kepada Allah SWT, tekun menuntut ilmu dan membawa rahmah dalam dakwah.


"Berakar pada khazanah turath Islam serta meneladani kebijaksanaan dan adab para ulama dan ilmuwan, berupaya menterjemahkan petunjuk al-Quran untuk menjawab persoalan kehidupan dan memajukan umat," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, Anwar turut mengilhamkan projek menterjemah, mencetak dan mengagihkan sejuta naskhah al-Quran di seluruh dunia.


"Lebih 30 bahasa terjemahan al-Quran telah dicetak dan diedarkan ke puluhan negara di dunia," katanya.


Beliau berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut memperkenalkan aplikasi Smart Al-Quran yang disifatkan sangat bermanfaat dalam memudahkan interaksi masyarakat dengan al-Quran.


Menurutnya, dalam ucapan itu, Anwar turut memetik firman Allah SWT dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang antara lain menekankan sifat lemah lembut, memaafkan, bermesyuarat dan bertawakal kepada Allah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page