'Tiktok bawa Siti Aishah ke Bukit Aman pula'
- Suara Keadilan
- Jul 13, 2022
- 2 min read

Setelah dirakam percakapan di balai polis Ipoh dua minggu lalu atas muatnaik Tiktok mengenai penarikan subsidi ke atas beberapa barang keperluan rakyat, hari ini Siti Aishah Shaik Ismail dipanggil pula ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.
Mantan senator itu dalam sidang media di hadapan Bukit Aman jelas tidak berpuas hati dengan siasatan berkali kali terhadap isu Tiktok beliau yang remeh.
"Sebenarnya saya telah disiasat oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) pada 2 minggu yang lalu. Di mana SKMM dan polis Ipoh telah hadir ke rumah saya dan bawa saya ke Unit Siasatan Jenayah.
"Kemudian saya dilepaskan, dan 3 - 4 hari kemudian saya terima panggilan untuk disiasat di Bukit Aman pula, kes yang sama. Jadi persoalan di pihak saya, mengapa rakaman percakapan saya itu tidak diambil pada waktu yang sama saya ditahan di Ipoh dahulu," katanya kepada media sebelum memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Juwairiya Zulkifli yang turut sama hadir memberi sokongan kepada Siti Aishah bertanya, sama ada kerajaan sedang cuba menggertak pemimpin parti pembangkang dengan terus menerus mengenakan siasatan terhadap hal hal yang remeh seperti itu.

"Hari ini kali kedua Siti Aishah dipanggil untuk siasatan. Kali pertama di Ipoh dan kini di Bukit Aman. Saya lihat ini intimidasi bersasar terhadap sesetengah parti politik. Saudari Siti Aishah hanyalah wakil membawa kemarahan rakyat di media sosial.
"Isu yang menaikkan kemarahan rakyat bukan dari beliau sendiri, beliau menyuarakan keluhan rakyat di bawah. Malangnya beliau ditekan sebegini rupa oleh pihak kerajaan yang mereka sendiri mencetuskan kemarahan rakyat
"Jadi mengapa harus Siti Aishah dipersalahkan. Adakah kerajaan takut dengan kesalahan (tarik subsidi) yang mereka lakukan," katanya.
Tambah Juwairiya, adalah intimidasi tersebut menandakan Pilihan Raya Umum ke 15 semakin hampir dan kerajaan yang tidak mempunyai jawapan kepada masalah kenaikan harga barang cuba menyenyapkan suara rakyat melalui siasatan pihak berkuasa.
"Satu demi satu isu yang menekan rakyat hari ini siapa yang perjuangkan?
"Sekarang parti Pembangkang, KEADILAN, Amanah, DAP, Muda ditekan. Mungkin PRU tidak lama lagi dan kerajaan tidak keruan dengan polisi yang tidak menentu menaikkan kemarahan rakyat
"Jadi, jangan salahkan Siti Aishah yang menyuarakan kemarahan orang di bawah," katanya lagi.
Comments