Tiket balik Hari Raya Aidilfitri ke Sabah dan Sarawak yang mahal pada tahun ini memerlukan kerajaan campurtangan bagi mengawal harga.
Hal itu dibangkitkan oleh 3 persatuan mahasiswa yang mahu kerajaan lebih prihatin, terutamanya ke atas pada pelajar yang tidak memiliki kewangan yang banyak untuk balik berhari raya.
"Kami menyatakan kegelisahan dan kekecewaan berkaitan harga tiket kapal terbang antara Semenanjung Malaysia ke Sabah dan Sarawak menjelang Musim perayaan Aidilfitri yang tidak munasabah.
"Kami berpandangan Kementerian Pengangkutan seharusnya memainkan peranan yang lebih proaktif dan tegas ke atas syarikat penerbangan agar meletakkan harga tiket kapal terbang secara lebih munasabah.
"Kami juga bersetuju dengan cadangan YB Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak agar Kerajaan Persekutuan menetapkan harga siling tiket penerbangan antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak. Ini bagi memastikan wujud mekanisma kawalan terhadap harga tiket kapal terbang terutama di musim perayaan," kata mereka dalam satu kenyataan.
Menurut persatuan mahasiswa itu lagi, kerajaan perlu mengambil kira fasa endemik yang mewajarkan mereka mengawal harga pengangkutan dalam keadaan rakyat mahu pulang untuk bersama keluarga selepas 2 tahun dibelenggu langkah pencegahan Covid 19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan.
"Kerajaan perlu lebih sensitif dan empati bagi memberi ruang kepada rakyat terutama mahasiswa Borneo pulang menyambut hari raya bersama keluarga selepas dua tahun negara berhadapan dengan kekangan wabak Covid-19," kata mereka lagi.
Dalam pada itu, para pemimpin mahasiswa itu juga berharap Kementerian Pengangkutan dapat lebih peka dan mengambil tindakan tegas bagi mengawal semua harga tiket pengangkutan awam termasuklah tiket bas dan ETS bagi memastikan mahasiswa seluruh negara dapat meraikan sambutan Hari Raya bersama keluarga di kampung halaman masing-masing.
Kenyataan bersama terebut dikeluarkan oleh Yang Dipertua PKPIM Sabah Muhammad Izuddin Hassanuddin, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) Muhammad Luqmanul Hakim Mohd Suffian dan Naib Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Muhammad Anwar Hadi Romli.
コメント