Politik 'tikam belakang' yang diamalkan Bersatu, khususnya presiden parti itu Tan Sri Mahiaddin Yassin dan pemimpin kanannya Azmin Ali menyebabkan anak muda Malaysia memandang sinis terhadap ahli politik dan menolak untuk keluar mengundi dalam beberapa siri pilihan raya negeri.
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Haziq Azfar Ishak, kenyataan seorang ahli Jawatankuasa Eksekutif Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Harris Idaham Rashid baru baru ini, yang tidak dapat menerima kritikan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Rafizi Ramli terhadap pengkhianatan yang dilakukan oleh Azmin Ali dan rakan-rakannya yang menggelorakan politik negara adalah tidak realistik.
Katanya, penafian terhadap frasa 'tikam belakang' yang digunakan Rafizi menunjukkan Harris dan rakan-rakannya masih berada dalam sindrom penafian terhadap kemunafikan mereka lakukan bukan sahaja terhadap Pakatan Harapan tetapi juga pengundi yang melakukan perubahan pada Pilihan Raya Umum 2018.
"Hakikatnya kesan perbuatan mereka telah membawa kecelakaan besar kepada ekosistem demokrasi negara kita, termasuk menghilangkan keyakinan anak muda terhadap sistem demokrasi dan minat untuk turun mengundi akibat tindakan jijik Mahiadin - Azmin yang ingkar terhadap referendum serta kemahuan rakyat dalam PRU14, sekali gus melunturkan ketuanan rakyat yang turun mengundi
"Saya juga menyelar kenyataan Harris kononnya Rafizi kembali untuk menimbulkan lebih banyak huru-hara dalam KEADILAN dan menyifatkannya sebagai satu kenyataan tidak matang dan mencampuri urusan dalaman KEADILAN bak kata pepatah 'bagai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong'," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Haziq lagi, kembalinya Rafizi dalam politik sehingga kini telah berjaya meningkatkan momentum sokongan anak muda dan keyakinan pengundi untuk keluar semula mengundi.
Katanya, Rafizi memberikan mereka tujuan dan meyakinkan semula makna demokrasi selepas Mahiaddin dan Azmin menghitamkan imej politik negara.
"Pesanan Rafizi kepada anggota KEADILAN supaya jangan 'menikam belakang' seperti yang dilakukan oleh Azmin dan rakan-rakannya amat penting kerana ia dapat meneguhkan semula kompas moral setiap anggota, bahawa pada akhirnya kesetiaan terhadap idealisme parti dan prinsip adalah jauh lebih penting berbanding kesetiaan membuta tuli terhadap perkara lain.
"Mungkin Harris tidak suka atau berkecil hati mendengar frasa 'tikam belakang', tetapi itu tidak penting kerana hakikat pahit yang perlu ditelan oleh Harris dan rakan-rakannya adalah tindakan mereka membawa kecelakaan besar terhadap ekosistem demokrasi Malaysia," katanya lagi
Justeru, Haziq mahu Harris dan rakan-rakan yang lain dalam ARMADA supaya bermuhasabah menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 di mana rakyat akan menilai prestasi ahli politik yang mereka undi pada 2018 lalu.
Comments