Komuniti MADANI Sg Isap kerjasama dengan PERKESO, anjur karnival kerjaya
- Redzuan Shamsudin

- 2 hours ago
- 2 min read

Komuniti Madani Sungai Isap muncul sebagai komuniti MADANI pertama di negeri ini yang menjalin kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menganjurkan karnival kerjaya khusus untuk anak muda di Parlimen Kuantan.
Inisiatif tersebut dilaksanakan dengan sokongan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPEN) Pahang di bawah Kementerian Komunikasi Malaysia, yang berperanan memperkukuh hubungan antara kerajaan dan masyarakat di peringkat akar umbi.
Menurut Pengerusi Komuniti Madani Sungai Isap, Tan Ibrahim, penganjuran karnival tersebut bertujuan membantu meningkatkan peluang pekerjaan dalam kalangan belia tempatan.
"Komuniti Madani Sungai Isap, Kuantan menjadi komuniti madani pertama di Negeri Pahang yang menjalin hubungan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial bagi menjayakan program karnival kerjaya anak muda di Parlimen Kuantan," katanya.
Sejak penjenamaan semula Komuniti Madani oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, sebanyak 126 komuniti telah ditubuhkan di seluruh Pahang, termasuk sembilan di Parlimen Kuantan.
Program karnival kerjaya itu akan melibatkan komuniti Gugusan Sungai Isap yang mempunyai kira-kira 20,000 penduduk merangkumi tujuh kawasan utama seperti Sungai Isap 1, Sungai Isap 2, Sungai Isap Perdana dan beberapa kawasan lain.
Pengarah PERKESO Pahang, Hisham Abdul Rahman, menyambut baik kerjasama tersebut dan melihatnya sebagai langkah penting dalam membantu golongan muda mendapatkan pekerjaan.
Karnival kerjaya itu dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 24 Jun 2026 di Sungai Isap.
Turut hadir dalam sesi libat urus berkenaan ialah Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, yang menyifatkan penglibatan pihak berkuasa tempatan sebagai pemangkin kepada hubungan lebih erat antara komuniti dan agensi kerajaan.
"Penglibatan MBK bersama Komuniti Madani mampu mengukuhkan hubungan dengan masyarakat serta memperkasa pelbagai program komuniti," katanya.
Beliau turut menekankan peranan inisiatif seperti Kebun Komuniti sebagai platform memperkasakan aktiviti masyarakat setempat dan meningkatkan interaksi antara pihak berkuasa tempatan dengan warga Kuantan.




Comments