top of page

Tiga prinsip teras pandu agenda kelestarian alam – Syed Ibrahim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 3 min read

Syed Ibrahim menekankan tiga prinsip utama dalam agenda kelestarian alam sekitar
Syed Ibrahim menekankan tiga prinsip utama dalam agenda kelestarian alam sekitar

Oleh: Sidiqin Omar


WAWANCARA: Amanah sebagai khalifah di muka bumi, keseimbangan (mizan) antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar serta keutamaan terhadap kepentingan umum (maslahat) menjadi tiga prinsip asas yang membentuk pendekatan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam menggubal dasar dan melaksanakan tindakan.


Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, prinsip-prinsip tersebut bukan hanya terpakai kepada pimpinan kementerian, malah seharusnya juga melibatkan seluruh manusia sebagai sebahagian daripada ekosistem yang sama.


"Ini bukan hanya tentang saya sebagai Timbalan Menteri atau Menteri, tetapi tentang kita semua sebagai insan.


"Konsep amanah itu selari dengan pandangan Islam yang meletakkan manusia sebagai khalifah di muka bumi, bukan sebagai ‘raja’ yang bebas mengeksploitasi alam.


"Kita diberi amanah untuk menjaga bumi dan alam sekitar. Apabila berada dalam kementerian yang berkait rapat dengan alam, tanggungjawab ini menjadi lebih langsung," kata Syed Ibrahim dalam wawancara eksklusif bersama Suara Keadilan.


Prinsip kedua, katanya, ialah mizan atau keseimbangan, khususnya dalam mengurus sumber asli negara dan Malaysia menurut beliau perlu menyeimbangkan keperluan pemeliharaan alam sekitar dengan kepentingan ekonomi.


"Kita mahu hutan kekal, udara bersih dan karbon dikurangkan, tetapi dalam masa sama negara juga mempunyai lombong dan bahan mentah bernilai tinggi untuk ekonomi. Kalau kita gali tanpa memikirkan alam, itu tidak boleh diterima.


"Keseimbangan itu penting bagi memastikan pembangunan yang mampan dapat dicapai tanpa mengorbankan tanggungjawab sebagai penjaga alam.


"Keseimbangan inilah yang membolehkan kita melaksanakan amanah sebagai khalifah di muka bumi," katanya.


Manakala prinsip ketiga menurut Syed Ibrahim ialah ‘maslahah’ atau maslahat umum, iaitu kepentingan bersama yang melangkaui kepentingan peribadi dan kegagalan mengambil kira maslahat umum akan membawa kepada kemusnahan alam dan negara.


"Maslahat umum ini termasuk kehidupan liar, haiwan dan alam sekitar, bukan hanya manusia. Kita semua sebahagian daripada ekosistem," katanya.


Mengulas pendekatan kementerian, beliau berkata penggubalan dasar dan undang-undang berkaitan kelestarian alam perlu disertai dengan usaha berterusan memberi kesedaran dan pemerkasaan kepada rakyat.


"Undang-undang perlu apabila perlu, tetapi yang lebih penting ialah kefahaman rakyat tentang amanah menjaga alam," katanya menjelaskan tahap kesedaran masyarakat masih berbeza-beza, termasuk terhadap isu global seperti pengurangan karbon dan pelepasan sifar bersih.


"Ada yang masih tidak memahami apa itu karbon, apatah lagi pelepasan sifar karbon dan bersih. Sebab itu kita perlu gabungkan pendidikan, kawal selia dan undang-undang," jelasnya.


Sasaran 100 Hari Pertama


Katanya tempoh 100 hari pertama dalam kerajaan yang kini berada pada pertengahan penggal pentadbiran memerlukan fokus kepada meneruskan agenda sedia ada yang telah dirancang dan mempercepatkan pelaksanaannya.


"Tahun ini ialah tahun pelaksanaan dan keberhasilan, bukan lagi tahun umum dasar baharu.


"Kita mahu melihat sejauh mana 100 hari ini boleh dijadikan pemangkin kepada pelaksanaan perkara-perkara lain yang telah dirancang. Antara tumpuan utama ialah isu sumber asli, terutamanya bahan nadir bumi atau REE yang kita semua sedia maklum mempunyai nilai ekonomi yang sangat tinggi.


"Ketika ini kita masih berada di peringkat awal untuk menentukan bagaimana bahan nadir bumi ini harus diuruskan dengan betul.


"Sebab itu antara penekanan dalam tempoh 100 hari ini ialah keperluan mewujudkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara, atau RUPIN.


"Selain itu, kita juga melihat keperluan penubuhan sebuah badan pengawal selia yang berfungsi sebagai penguat kuasa kepada rang undang-undang ini bagi memastikan pelaksanaannya dapat dikawal dengan berkesan," tambahnya.


Beliau turut menegaskan bahawa isu kelestarian alam berkait rapat dengan agenda rakyat, termasuklah isu banjir kilat, keselamatan air, kualiti alam sekitar serta konflik manusia-haiwan.


"Walaupun isu banjir berada di bawah kementerian lain, data ramalan cuaca dan sistem amaran awal yang disediakan NRES melalui agensi seperti MetMalaysia memainkan peranan penting dalam persediaan bencana," ujarnya.


Mengulas konflik manusia dan haiwan liar pula, Syed Ibrahim mengajak masyarakat melihat isu tersebut dari perspektif yang lebih adil.


"Bukan haiwan yang menceroboh kita, sebenarnya kita yang menceroboh kawasan mereka akibat pembangunan," katanya sambil menegaskan keperluan kerjasama antara kerajaan, industri, agensi perhilitan dan pertubuhan bukan kerajaan bagi mencari penyelesaian lestari.


Beliau berharap pendekatan berteraskan amanah, keseimbangan dan maslahat umum itu dapat diterjemahkan dalam tindakan nyata kementerian, sekali gus memastikan pembangunan negara bergerak seiring dengan pemeliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page