Larangan kenderaan asing isi RON95: MPPN sokong padu langkah KPDN
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menzahirkan sokongan penuh terhadap langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang sedang merangka peraturan baharu bagi menguatkuasakan larangan khusus terhadap pembelian petrol RON95 oleh kenderaan pendaftaran asing di stesen minyak.
Pengerusi MPPN, Mohd Khair Ngadiron menyifatkan, usaha berkenaan merupakan satu langkah penting bagi memastikan subsidi bahan api yang diperuntukkan kerajaan, dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat Malaysia selaras dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.
"MPPN mengambil maklum penjelasan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali bahawa kerangka perundangan sedia ada melalui Peraturan 12A pada ketika ini hanya melibatkan larangan terhadap penjualan yang membolehkan tindakan diambil terhadap stesen minyak semata-mata.

"Sehubungan itu, cadangan pengenalan undang-undang baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang meliputi larangan bukan sahaja terhadap penjualan, tetapi juga pembelian merupakan langkah yang wajar bagi memperkukuh penguatkuasaan serta menangani ketirisan subsidi," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Khair turut menegaskan bahawa penyaluran subsidi tanpa kawalan yang berkesan boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak tidak layak dan beban fiskal yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.
Ujar beliau, langkah itu juga dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan.
"Sebagai badan penasihat utama kepada Kerajaan dalam hal ehwal pengguna, MPPN akan terus menyokong dasar dan inisiatif yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi dan meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan.
"Kami turut menggalakkan semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak dan pengguna untuk memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara," katanya lagi.









Comments